RCI TH: Rosol ibaratkan ketiadaan PM seperti pengantin tak datang majlis kahwin

KUALA LUMPUR - Sidang Khas Dewan Rakyat mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) di Dewan Rakyat hari ini kecoh susulan usul pembangkang untuk menangguhkan sesi itu atas alasan ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ditolak.
Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) bangkit mempersoalkan kewajaran sesi itu diteruskan dengan menyifatkan ia tidak lengkap seperti majlis perkahwinan diadakan tanpa pengantin.
"Sekarang majlis perkahwinan nak dibuat, pengantin tak datang," katanya.
Bagaimanapun Speaker, Tan Sri Johari Abdul menegaskan, tindakan Rosol membuat perbandingan sedemikian sebagai tidak kena memandangkan masih ada anggota Kabinet yang hadir pada sidang khas itu termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Tak ada majlis perkahwinan. Semua termasuk saya, terikat dengan perkara 11 (3), maknanya bila Perdana Menteri memohon untuk adakan persidangan ini, beliau hantar surat dan saya akur untuk benarkan majlis ini diadakan.
"Untuk menyatakan kenapa Perdana Menteri tidak ada, kita masih ada Timbalan Perdana Menteri di sini, adakah anda mahu 'downgrade' kedudukan beliau? Beliau mewakili Kabinet.
"Kita masih ada dua sesi yang penting iaitu pada 5 Oktober ini adalah pembentangan Bajet, itulah peluang yang boleh digunakan oleh semua ahli Yang Berhormat," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN : Pembangkang keluar dewan, protes sidang khas RCI Tabung Haji
Keluar Dewan: Pembangkang tidak serius isu RCI Tabung Haji – Zaliha
Ahli Parlimen Bersatu tidak keluar dewan, mahu tempoh bahas RCI TH dipanjangkan
'Nak bahas saya atau Tabung Haji?' - Anwar
PM perlu hadir bahas RCI TH untuk jawab - Mohd Syahir
Terdahulu, perang mulut turut tercetus di antara Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau), Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) dan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) sebaik Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bangkit mengemukakan usul supaya sesi khas itu ditangguhkan kerana ketiadaan Perdana Menteri.
Shahidan berkata, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun sepatutnya ada kerana beliau yang sering mengaitkan TH dengan salah laku sakau.
Bagaimanapun, Mohd Sany mempersoalkan kewajaran Ahli Parlimen pembangkang yang mendesak penangguhan sesi itu.
"Saya nak minta petua Speaker, saya baca dalam buku peraturan ini yang menyebut Perdana Menteri boleh adakan persidangan ini dan tak semestinya (PM) ada dalam sesi ini.
"Kabinet ini bekerja secara kolektif. Kalau PM tak ada, Timbalan Perdana Menteri ada, dia boleh jawab, malah Menteri Kewangan dan Menteri Agama pun ada.
"Jadi apa masalahnya? Saya rasa kita teruskanlah persidangan ini sebab rakan kita dari Sabah, Sarawak sudah datang, belanja hotel," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


