Kos pembedahan cecah RM80,000, bantuan RMHC beri peluang Samantha mendengar

Simon bersama anaknya, Samantha (tengah) dengan ditemani isterinya, Eunice Luwi (kiri) ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Geran Perubatan RMHC Malaysia di Hospital TABTAR.
Simon bersama anaknya, Samantha (tengah) dengan ditemani isterinya, Eunice Luwi (kiri) ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Geran Perubatan RMHC Malaysia di Hospital TABTAR.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Harapan seorang bapa supaya anak perempuannya boleh mendengar akhirnya menjadi kenyataan apabila kanak-kanak itu berjaya menjalani pembedahan implan koklea dengan bantuan Geran Perubatan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia).

Simon Pong, 30, berkata, anaknya, Samantha Pong, 4, sebelum ini membesar seperti kanak-kanak biasa sebelum mereka mula menyedari terdapat sesuatu yang tidak kena ketika anaknya berusia kira-kira setahun.

Menurutnya, Samantha tidak memberi respons apabila dipanggil atau apabila mendengar bunyi seperti kebanyakan bayi lain, menyebabkan mereka membawanya mendapatkan pemeriksaan lanjut.

“Pada mulanya kami ingat dia biasa sahaja. Tetapi apabila sudah umur setahun, kami mula perasan dia tidak memberi respons apabila dipanggil dan tidak menunjukkan reaksi terhadap bunyi.

“Kami kemudian bawa Samantha untuk pemeriksaan lanjut dan doktor mengesahkan dia mempunyai masalah pendengaran,” katanya.

Simon berkata sedemikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Geran Perubatan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak UKM (Hospital TABTAR) pada Selasa.

Sebelum itu, RMHC Malaysia menyalurkan Geran Perubatan berjumlah RM300,000 kepada enam pertubuhan kebajikan hospital iaitu Yayasan Institut Jantung Negara (Yayasan IJN), Persatuan Kebajikan Pesakit Kanak-Kanak Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (PEKA) dan Tabung Kebajikan Pesakit Hospital TABTAR.

Antara lain, Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia PPUMCare, Pusat Perubatan Universiti Malaya serta Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS).

Simon berkata, keadaan itu menjadi antara pengalaman paling sukar dilalui keluarganya apabila pemeriksaan lanjut menunjukkan Samantha memerlukan rawatan serta pembedahan implan koklea bagi membantu memulihkan keupayaan pendengarannya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, menurutnya yang menyara keluarga sebagai pekerja binaan memaklumkan, kos rawatan yang mencecah kira-kira RM80,000 menyebabkan keluarga itu tidak mampu menanggungnya sendiri.

Bagaimanapun, kata beliau, bantuan melalui Program Geran Perubatan RMHC Malaysia memberi sinar baharu kepada keluarga mereka apabila Samantha berjaya menjalani pembedahan implan koklea pada September lepas.

Simon berkata, perkembangan Samantha selepas menjalani pembedahan itu amat menggembirakan keluarganya, malah mereka kini berharap anaknya dapat bertutur tidak lama lagi.

"Terima kasih kepada RMHC Malaysia, pihak hospital dan semua yang terlibat kerana merealisasikan harapan kami. Kini, Samantha akhirnya dapat mendengar suara kami," ujarnya lagi.

Bagi keluarga lain yang turut menerima bantuan, Jeyakumar Kannan, 43, berkata, bantuan sama memberi kelegaan ketika anaknya, Ayasha, berdepan masalah jantung kongenital yang memerlukan pembedahan dengan kos kira-kira RM70,000.

Menurutnya, anak bongsu dari tiga beradik, disahkan mengalami masalah jantung sejak hari kedua selepas dilahirkan sebelum dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk mendapatkan rawatan pakar.

Menurutnya, keadaan itu menjadi cabaran besar buat keluarganya kerana dia suri rumah, manakala hanya suaminya seorang bekerja selain mempunyai dua lagi anak yang perlu ditanggung.

“Memang ketika pertama kali tahu anak ada masalah ini, dunia saya rasa gelap. Kos pembedahan pula tinggi dan perlu dicari dalam tempoh yang singkat," kongsinya.

Justeru, menurutnya, bantuan yang diterima memang sangat membantu keluarga mereka kerana kos rawatan mencecah kira-kira RM70,000.

Sejak program itu diperkenalkan pada 2018, RMHC Malaysia telah menyalurkan lebih RM2.4 juta kepada pertubuhan kebajikan hospital di seluruh negara dan membantu 639 kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan mendapatkan sokongan kewangan bagi rawatan diperlukan.

Azmir (empat dari kanan) bersama wakil enam pertubuhan kebajikan hospital yang menerima Geran Perubatan Perubatan RMHC Malaysia di Hospital TABTAR.
Azmir (empat dari kanan) bersama wakil enam pertubuhan kebajikan hospital yang menerima Geran Perubatan Perubatan RMHC Malaysia di Hospital TABTAR.

Sementara itu, Presiden RMHC Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang untuk menjalani kehidupan lebih baik tanpa kekangan kewangan menjadi penghalang kepada rawatan yang diperlukan.

“Apabila seorang anak jatuh sakit, ibu bapa sepatutnya dapat menumpukan perhatian kepada rawatan dan pemulihannya, bukan memikirkan sama ada mereka mampu menanggung kos yang diperlukan.

“Sebab itu, RMHC Malaysia terus bekerjasama dengan pertubuhan kebajikan hospital yang memainkan peranan penting dalam mengenal pasti keluarga yang memerlukan sokongan dan bantuan sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hospital TABTAR, Profesor Dr Hamzaini Abdul Hamid berkata, geran berkenaan membantu memperkukuh sokongan kepada keluarga kurang berkemampuan yang mempunyai anak sedang menerima rawatan di hospital.

Beliau memberitahu, kos rawatan, peralatan perubatan dan penjagaan susulan boleh menjadi beban besar kepada sesetengah keluarga.

“Geran yang disalurkan kepada Tabung Kebajikan Pesakit TABTAR UKM membantu kami memperluaskan sokongan kepada keluarga yang layak, manakala rawatan terus dilaksanakan oleh pasukan perubatan hospital berdasarkan keperluan setiap pesakit.

“Kerjasama seperti ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga ketika melalui saat-saat yang mencabar,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!