Rod Stewart batalkan baki jelajah AS selepas menjalani pembedahan jantung

PENYANYI Britain, Rod Stewart membatalkan baki konsert jelajahnya di Amerika Syarikat (AS) bagi tahun 2026 selepas menjalani pembedahan jantung, lapor PA Media/dpa.
Penyanyi berusia 81 tahun itu mengesahkan menerusi Instagram bahawa beliau akan berehat selama empat minggu untuk menjalani proses pemulihan selepas menjalani prosedur pemasangan stent koronari, sekali gus memendekkan jelajah persembahannya di AS dan Mexico yang dijadualkan berlangsung sehingga September.
"Saya sudah berasa lebih baik dan sedang pulih dengan baik," katanya.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada doktor, jururawat dan semua yang telah menjaga saya dengan begitu baik.
"Saya amat kecewa kerana terpaksa melepaskan peluang mengadakan persembahan ini dan memohon maaf kepada para peminat, namun saya berharap dapat kembali beraksi di pentas dan bergembira bersama anda semua tidak lama lagi."
Beliau dijadual mengadakan persembahan di Ohio, Illinois dan Mexico, selain mengadakan enam persembahan di Caesars Palace di Las Vegas.
Wakil Stewart berkata penyanyi itu "berada dalam keadaan sangat baik" selepas menjalani prosedur berkenaan dan "telah kembali menjalani aktiviti harian seperti biasa".
Menurut kenyataan itu, atas nasihat doktor, Stewart akan berehat selama empat minggu bagi menjalani proses pemulihan sepenuhnya sebelum kembali membuat persembahan.
"Malangnya, ini bermakna beliau tidak dapat meneruskan baki jadual jelajah semasanya.
"Maklumat mengenai persembahan yang terjejas akan dimaklumkan oleh penganjur dan lokasi masing-masing."
Dua lagi persembahan di Colorado dijadual berlangsung pada September 2027.
Pengumuman itu dibuat selepas Stewart menangguhkan persembahan di Cincinnati dan Cleveland susulan masalah kesihatan.
Rocket Arena di Cleveland sebelum ini mengesahkan pembatalan persembahan itu menerusi media sosial dengan memaklumkan: "Selepas tempoh pemantauan, doktor menasihatkan Rod Stewart supaya berehat sekurang-kurangnya 48 jam. Sehubungan itu, persembahannya yang dijadualkan pada malam esok, 11 Ogos 2026 di Rocket Arena, Cleveland dibatalkan.
"Rod kecewa kerana tidak dapat mengadakan persembahan itu dan menghargai kefahaman semua pihak. Beliau berharap dapat kembali ke pentas tidak lama lagi."
Masalah kesihatan turut memaksa beberapa persembahan beliau dibatalkan dan ditangguhkan pada Mei dan Jun.
Pada Mei, penyanyi lagu Maggie May memohon maaf kepada "keluarga peminat saya" menerusi kenyataan kepada Las Vegas Review-Journal Las selepas membatalkan persembahan di Nevada sambil menjelaskan: "Saya sedang berehat daripada menggunakan suara ketika pulih daripada jangkitan sinus."
Kurang sebulan kemudian, beliau membatalkan persembahan di San Diego selepas disahkan mengalami jangkitan saluran pernafasan yang menyebabkan laringitis.
Awal bulan ini, penyanyi rock itu turut menyambut kelahiran cucu keenamnya selepas anak perempuannya, Ruby, melahirkan seorang bayi lelaki yang dinamakan Levi. - Bernama
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa
TAG: United Kingdom, Rod Stewart, pembatalan, jelajah AS, pembedahan jantung
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
