X

Kindly register in order to view this article
!

Semak dulu fakta sebelum tularkan

Ayob Khan
A
A

JOHOR BAHRU - Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menyifatkan dakwaan seorang doktor berhubung isu penjarakan sosial di beberapa lokasi melalui video tular semalam sebagai tidak tepat.

Ayob Khan turut menyangkal dakwaan bahawa pihaknya tidak melakukan kerja dan hanya duduk di pejabat.

Jelasnya, polis juga sudah menjalankan siasatan di lokasi dinyatakan individu terlibat.

"Kita telah semak lokasi lokasi yang telah dinyatakan doktor ini iaitu di Pasar Larkin, kedai serbaneka Taman Bukit Mutiara serta sebuah pasar raya di Taman Daya dan berdasarkan siasatan memang ada penjarakan sosial, jadi dakwaan doktor itu tidak tepat.

"Untuk makluman juga kita telah menangkap 2,503 orang sepanjang PKP dilaksanakan jadi mana dakwaan yang cakap polis tidak ambil tindakan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Sebelum ini, seorang doktor sebuah klinik swasta di daerah ini mendakwa polis tidak membuat kerja dan hanya duduk di pejabat sebelum video berdurasi 12 minit 26 saat tular di laman sosial sejak semalam.

Gambar rakaman yang dimuat naik doktor sebuah klinik swasta yang mendakwa polis tidak buat kerja.
Gambar rakaman yang dimuat naik doktor sebuah klinik swasta yang mendakwa polis tidak buat kerja.

Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan orang awam terutamanya golongan profesional untuk menyemak terlebih dahulu fakta sebelum menularkan sesuatu video atau gambar sehingga mengelirukan orang ramai.

Jelasnya, sepanjang PKP dilaksanakan sejak 18 Mac lalu, seramai 3,765 pegawai dan anggota polis ditugaskan sama ada di sekatan jalan raya, kawasan kuarantin, hospital dan sebagainya.

Tambah beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dibantu 1,575 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuklah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM).

"Kita juga telah semak latar belakang doktor berkenaan, dia bukan bertugas dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dia pun buat video complaint (aduan) berdasarkan cakap orang lain (pesakit) bukan dia pergi tengok sendiri.

"Jadi saya tegaskan kalau nak buat aduan, boleh, kita alukan tetapi pastikan fakta itu betul," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ayob Khan turut menafikan gambar tular di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang yang tidak mengamalkan penjarakan sosial terhadap tahanan PKP.

Jelasnya, gambar tular berkenaan tidak tepat kerana ketika itu tahanan baru sampai ke IPD berkenaan dan semasa proses dokumentasi dijalankan, pihaknya melakukan penjarakan sosial terhadap mereka.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!