LPT3: Kelantan tak mahu rakyat terbeban, pilih jalan empat lorong jika kos tol terlalu tinggi

Izani
Izani
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan tidak mahu pelaksanaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) menjadi beban kepada rakyat sekiranya kos pembinaan dan kadar tol yang dikenakan terlalu tinggi.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, kerajaan negeri pada prinsipnya memerlukan LPT3 kerana kemudahan berkenaan mampu meningkatkan kecekapan perhubungan serta sosioekonomi Kelantan.

Bagaimanapun kata beliau, kerajaan negeri perlu menimbang kos pembinaan berbanding manfaat yang bakal diperoleh rakyat sebelum memberikan pendirian muktamad berhubung pelaksanaan projek berkenaan.

"Pendirian kerajaan negeri, nombor satunya kita perlu. Tetapi kos lebuh raya dengan kepentingannya itu, kita kena timbang mana lebih untung.

"Kalau sekiranya kos terlalu tinggi dan membebankan kerajaan dan juga rakyat kita nanti, sedangkan kita ada alternatif lain yang boleh sampai hasrat kita, maka pada pandangan saya, kita perlu fikir untuk mengadakan jalan empat lorong antara Rantau Panjang sehingga Jeli," katanya pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke -15 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dr Hafidzah Mustakim (PH-Kota Lama).

Dr Izani berkata, cadangan jalan empat lorong itu dilihat mampu menjadi alternatif bagi mencapai matlamat mempertingkat jaringan perhubungan negeri tanpa membebankan rakyat dengan kos tol yang tinggi.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan ADUN Shaari Mat Yaman (Pas-Bunut Payong) mengenai perkembangan LPT3, beliau berkata kerajaan negeri tetap menganggap projek lebuh raya berkenaan sebagai satu keperluan.

Menurut beliau, beberapa sesi libat urus telah diadakan bersama Kerajaan Persekutuan termasuk melalui Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), selain permohonan rasmi dikemukakan pada 13 Oktober 2024.

Artikel Berkaitan:

"LPT3 merupakan suatu keperluan kepada kerajaan negeri kerana kita melihat dengan pelaksanaan ini, insyaALLAH akan memberi efisiensi kepada rakyat dan meningkatkan sosioekonomi negeri Kelantan itu sendiri.

"Namun demikian, pihak kerajaan negeri telah mengadakan beberapa libat urus dengan Kerajaan Persekutuan dan kita juga telah membuat permohonan kepada Persekutuan pada 13 Oktober 2024," katanya.

Beliau memberitahu, ia juga menjadi tajuk perbincangan dalam Mesyuarat Tindakan Pembangunan (MTP) sebagai salah satu agenda pembangunan negeri.

Mengulas faktor yang menjadi halangan utama kepada pelaksanaan LPT3, Dr Izani berkata kos pembinaan yang dianggarkan mencecah RM8 bilion antara cabaran terbesar projek berkenaan.

Ujarnya, Kerajaan Persekutuan turut memaklumkan bahawa permintaan terhadap laluan berkenaan masih tidak tinggi, selain kos tol menjadi antara isu utama sekiranya projek dilaksanakan melalui pembiayaan swasta.

"Dalam pembinaan LPT3 ini melibatkan kos yang terlalu tinggi, iaitu RM8 bilion. Kerajaan Persekutuan telah memberi laporan bahawa keperluan atau permintaan jalan ini tidak tinggi.

"Dengan kos yang tinggi itu, melalui RFP (Request for Proposal), perkara paling besar sekali ialah kos tol," katanya.

Menurut beliau, kadar tol di LPT2 ketika ini sekitar 13 sen, manakala kadar paling rendah yang diunjurkan bagi LPT3 adalah kira-kira 60 sen, iaitu peningkatan yang ketara.

Dr Izani memberitahu, Kerajaan Persekutuan setakat ini tidak bercadang melaksanakan LPT3 menggunakan dana Persekutuan, sebaliknya cadangan pembiayaan melalui pihak swasta turut berdepan beberapa halangan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengenal pasti alternatif bagi menghubungkan Kelantan dengan Jertih menerusi laluan FT003 dan FT004 sepanjang kira-kira 90 kilometer.

Katanya lagi, jalan empat lorong dari Rantau Panjang ke Jertih itu dijangka dapat membantu mengatasi masalah kesesakan serta meningkatkan kemudahan perhubungan sekiranya LPT2 hanya berakhir di Jertih.

"JKR telah mengenal pasti jalan perhubungan lebih kurang 90 kilometer yang menghubungkan Terengganu dengan Kelantan.

"Kita menjangkakan LPT2 selalunya bersambung sampai ke Jertih saja. Jadi pihak JKR telah merancang jalan FT003 dan FT004 daripada Rantau Panjang terus kepada Jertih dengan laluan empat lorong," katanya.

Menurut beliau, setakat ini ada pakej yang telah dilaksanakan, ada pakej dalam pengambilan tanah dan ada pakej yang akan keluar tender.

Tambah beliau, pendekatan berkenaan diyakini mampu menjadi penyelesaian alternatif sekiranya jalan empat lorong Rantau Panjang hingga Jertih dapat direalisasikan.

“InsyaALLAH dengan pendekatan yang diambil oleh JKR tersebut, sekiranya jalan empat lorong ini dapat dilaksanakan daripada Rantau Panjang sampai ke Jertih, masalah kesesakan dan masalah kemudahan jalan raya ini dapat diatasi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!