Tokoh perbankan, Azlan Hashim meninggal dunia

TOKOH perbankan, Datuk Azlan Hashim yang merupakan adik kepada pengasas dan bekas Pengerusi AMMB Holdings Bhd (AmBank Group), Tan Sri Azman Hashim meninggal dunia pada usia 85 tahun.
Allahyarham dikenang sebagai antara pemimpin yang memainkan peranan penting dalam perkembangan Kumpulan AmBank selepas lebih tiga dekad berkhidmat dalam kumpulan perbankan berkenaan.
AmBank menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham yang disifatkan sebagai bekas pemimpin disegani dan mempunyai sumbangan penting dalam sejarah kumpulan berkenaan.
"Sepanjang kerjaya cemerlangnya yang menjangkau lebih tiga dekad bersama kumpulan, Allahyarham memegang beberapa jawatan kepimpinan utama dalam anak-anak syarikat serta entiti berkaitan kumpulan.
"Khidmat bakti, kepimpinan yang berwibawa serta sumbangan tidak ternilai Allahyarham terhadap tadbir urus, pertumbuhan dan pembangunan kumpulan akan sentiasa dikenang oleh keluarga AmBank," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Allahyarham memulakan kerjaya bersama kumpulan itu pada 5 Julai 1982 apabila menyertai Lembaga Pengarah Arab Malaysian Development Bank Berhad yang kini dikenali sebagai AmInvestment Bank Berhad.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi AmSecurities Sdn Bhd dari 10 Oktober 1986 hingga 3 Mac 2007 sebelum menyertai Lembaga Pengarah Ambank pada 12 Februari 1992.
Allahyarham berkhidmat sebagai Timbalan Pengerusi Ambank sehingga bersara pada 20 Ogos 2015.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Allahyarham turut memegang beberapa jawatan kepimpinan dalam anak syarikat dan entiti berkaitan Kumpulan AmBank.
Antaranya, beliau berkhidmat sebagai Pengarah Arab Malaysian Eagle Assurance Berhad, kini dikenali sebagai AmMetLife Insurance Berhad, dari 1 Mac 1985 hingga 28 Mac 2006 serta pernah memegang jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi sepanjang tempoh tersebut.
Allahyarham turut pernah menjadi Pengarah AmBank Islamic dari 1 Ogos 1994 hingga 19 Disember 2003 dan AmREIT Managers Sdn Bhd dari 24 Ogos 2008 hingga 12 Ogos 2015.
Selain itu, beliau menganggotai Lembaga Pemegang Amanah AmGroup Foundation sejak penubuhannya pada 18 Disember 1985.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
