Bekas komando meninggal dunia selepas tiga tahun berjuang lawan kanser

SHAH ALAM - Seorang bekas komando dari Bangi yang gigih berjuang melawan kanser meninggal dunia pada Isnin, jam 5.20 petang.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh isteri Allahyarham, Salwani Suhaida Mukhtar, 46, menerusi laman Facebook.
Mohd Azuan Asmuni, 40 yang disahkan menghidap penyakit tersebut pada 2023 itu dikebumikan di Felda Semenchu Kota Tinggi, Johor.
Menerusi hantaran sama, Salwani Suhaida memohon kepada orang ramai agar mendoakan arwah.
"Kepada semua yang mengenali arwah, mohon sedekahkan doa dan Al-Fatihah untuk arwah suami saya Mohd Azuan Bin Asmuni, semoga ditempatkan di kalangan orang-orang beriman dan dilapangkan kuburnya.
"Jika ada salah atau silap arwah harap dimaafkan. Dan jika arwah ada berhutang, harap dihalalkan atau boleh dituntut dari kami ahli keluarga arwah," katanya.
Sebelum ini, arwah dikenali sebagai seorang yang lincah dan aktif, malah pernah menyertai serta memenangi pelbagai acara triathlon terpaksa melupakan sukan kegemarannya bagi memberi tumpuan kepada rawatan seterusnya pemulihan diri.
Salwani Suhaida berkata, kehidupan suami yang merupakan pesara tentera berubah 180 darjah selepas disahkan menghidap kanser, namun tidak pernah berputus asa dan terus berjuang melawan penyakit dihidapi sejak tiga tahun lalu.
Jelasnya, suami pernah menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Ampang sebelum melalui proses transplan, namun mengalami komplikasi jangkitan kuman pada paru-paru, kencing berdarah, ulser dan selepas itu jangkitan kuman pada paru-paru.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

