X

Kindly register in order to view this article
!

Keselamatan sempadan sangat penting elak perdagangan haram

Gambar hiasan. Gambar kecil: Rohan Pike
A
A

KUALA LUMPUR - Pengumuman terbaharu oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu mengukuhkan sempadan Malaysia berikutan pandemik koronavirus (Covid-19) adalah dialu-alukan, kata Perunding Penguatkuasaan Undang-undang Antarabangsa, Rohan Pike.

Beliau berkata, kenyataan Perdana Menteri bahawa sempadan Malaysia dipenuhi dengan begitu banyak lorong tikus yang membolehkan pelawat haram atau tanpa dokumen dari negara luar menceroboh Malaysia dan berpotensi membawa virus Covid-19 bersama mereka adalah sangat tepat.

Rohan berkata, beliau sangat sangat percaya bahawa sempadan yang poros bukan sahaja mengancam keselamatan sesebuah negara dan kesihatan rakyat tetapi juga merosakkan ekonomi menerusi percambahan perdagangan haram.

“Sebuah kajian 2017 yang ditugaskan oleh International Chamber of Commerce mendapati dagangan global dalam barangan tiruan dan cetak rompak dianggarkan menjana antara RM4 trilion hingga RM4.9 trilion setahun. Ini merangkumi perdagangan melangkau sempadan, perdagangan domestik dan cetak rompak digital,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, sebuah laporan oleh Advokasi Jenama dan Perdagangan Runcit (RTBA) menunjukkan bahawa perdagangan haram tembakau berterusan mengakibatkan kehilangan hasil yang besar kepada kerajaan dan perniagaan sah di rantau Asia Pasifik.

Laporan RTBA berjudul Tembakau Haram di Rantau Asia Pasifik: Punca-punca dan Rumusan mendapati dari segi perolehan sahaja, jumlah keseluruhan kehilangan cukai di seluruh 19 pasaran rantau ini yang dipantau adalah melebihi RM25.3 bilion pada 2017 dengan hampir 50 peratus daripadanya berlaku di dua pasaran sahaja iaitu Australia dan Malaysia!

Beliau yang juga pengasas pasukan bertindak terhadap tembakau haram, Australian Border Force berkata, begitu jelas impak perdagangan haram tembakau telah mengakibatkan kerugian besar kepada ekonomi dan berleluasanya masalah ini berpunca daripada keselamatan sempadan yang tidak mencukupi di rantau ini.

“Lebih daripada 50 peratus tembakau haram di Malaysia masuk menerusi pelabuhan dan lorong tikus. Di samping itu, aliran masuk tembakau haram ke Malaysia juga merebak melangkau sempadannya. Di Australia, lebih 40 peratus tembakau haram adalah didatangkan dari, atau pemunggahan kapal menerusi Malaysia,” katanya.

Malah, katanya, laporan berita terbaharu menunjukkan penyeludup menggunakan khidmat penghantar makanan atau e-hailing untuk mengedar rokok haram semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan pengilang rokok yang sah tidak dibenarkan mengedar rokok menyebabkan permintaan terhadap rokok meningkat secara mendadak.

“Ramai tidak tahu bahawa kebanyakan rokok haram ini datang dari luar sempadan Malaysia. Jika keselamatan sempadan tidak diperketatkan, percambahan tembakau haram di Malaysia akan menjadi begitu teguh, hingga menjadikan ia hampir mustahil untuk dibanteras. Ia akan amat merosakkan negara ini dari segi sosio-ekonomi,” katanya.

Beliau yang juga bekas pegawai polis Australia berkata, kerugian kerajaan dari segi hasil cukai yang tidak dikutip akibat tembakau haram, yang kini berada pada tahap RM5 bilion setahun akan menjadi semakin bertambah.

“Di samping itu, akses mudah kepada rokok haram juga akan meningkatkan kadar perokok dari golongan remaja. Menurut Kaji Selidik Kesihatan Remaja 2017 oleh Kementerian Kesihatan, bilangan remaja, berusia antara 13-17 tahun, yang aktif merokok pada 2017 telah meningkat kepada 13.8 peratus berbanding 11.5 peratus pada 2012,” katanya.

Lazimnya, kata beliau, dagangan rokok haram hanyalah permulaan kerana sekiranya produk seperti rokok haram boleh dengan sebegitu mudah memasuki Malaysia dan malah dieksport semula ke negara jiran, begitulah juga dengan barangan berbahaya lain seperti senjata, dadah dan penyakit.

“Arahan Perdana Menteri kepada semua ketua agensi penguatkuasaan berkaitan, dari Polis Diraja Malaysia sehingga Jabatan Imigresen serta Angkatan Tentera Malaysia supaya mengetatkan keselamatan sempadan, adalah satu langkah yang tepat,” katanya.

Beliau berkata, perhatian terhadap keselamatan sempadan ini hendaklah melebihi bukan sekadar pandemik Covid-19 bagi memelihara nyawa rakyat Malaysia tetapi juga perniagaan dan juga ekonomi negara ini.

“Sebagai tambahan kepada menggerakkan agensi berkaitan, Malaysia juga boleh melihat kepada aspek meningkatkan perkongsian perisikan rentas sempadan dan pemantauan bagi mengenal pasti dan menutup laluan tikus. Teknologi canggih seperti dron, pengimbas dan CCTV paling terkini juga boleh diguna pakai di kawasan yang disyaki menjadi laluan haram seumpamanya,” katanya.

Selain daripada manusia, katanya, barangan yang masuk menerusi pelabuhan dan lebuh raya juga hendaklah diperiksa secara menyeluruh.

“Inilah masanya untuk memberi tumpuan khusus semula kepada usaha-usaha mengetatkan sempadan Malaysia bagi mengelakkan pelawat dan produk yang tidak diingini memasuki negara pada waktu-waktu sekarang,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!