Agrobank salur RM70 juta pembiayaan padi bantu hampir 10,000 pesawah

Agrobank salur RM70 juta pembiayaan padi bantu hampir 10,000 pesawah foto: Ihsan Agrobank
Agrobank salur RM70 juta pembiayaan padi bantu hampir 10,000 pesawah foto: Ihsan Agrobank
A
A
A

KUALA LUMPUR - Agrobank menyalurkan pembiayaan padi berjumlah RM70 juta setakat 20 Oktober lalu bagi membantu pesawah meneruskan aktiviti penanaman, sekali gus menyokong pengeluaran padi dan keterjaminan makanan negara.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, sokongan kepada pesawah perlu merangkumi keperluan modal dan perlindungan terhadap risiko yang boleh menjejaskan hasil tanaman serta pendapatan mereka.

"Pembiayaan yang bersesuaian dan perlindungan takaful dapat membantu pesawah mengurus risiko, meneruskan aktiviti penanaman selepas mengalami kerugian serta membina daya tahan kewangan yang lebih kukuh.

"Pendekatan menyeluruh ini mencerminkan komitmen Agrobank dalam menjaga kebajikan pesawah dan memastikan mereka dapat terus menyumbang kepada pengeluaran padi serta keterjaminan makanan negara," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Agrobank menyediakan kemudahan pembiayaan padi, pesawah boleh memperoleh pembiayaan sehingga RM50,000 bagi tempoh sehingga enam bulan untuk setiap musim penanaman, dengan kadar keuntungan antara satu peratus hingga 3.25 peratus semusim.

Kemudahan itu ditawarkan bagi tempoh sehingga lima tahun dan boleh diperbaharui, tertakluk pada penilaian, kelulusan serta terma dan syarat yang ditetapkan.

Pembiayaan berkenaan dapat membantu pesawah memenuhi keperluan modal bagi pembelian input pertanian dan operasi sepanjang musim penanaman.

Komitmen Agrobank dalam memperkukuh daya tahan pesawah diterjemahkan menerusi penyaluran pembiayaan padi berjumlah RM111.63 juta pada tahun 2025 dan kemudahan itu telah membantu hampir 10,000 pesawah di seluruh negara.

Selain pembiayaan, Agrobank turut menawarkan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP), yang menyediakan perlindungan sehingga RM3,000 sehektar bagi setiap musim penanaman untuk kerugian akibat bencana alam serta sehingga RM1,500 sehektar bagi kerugian akibat serangan makhluk perosak dan penyakit tanaman.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, manfaat perlindungan berjumlah RM51,956,633 telah disalurkan menerusi STTP kepada pesawah di seluruh negara bagi membantu mengurangkan kesan kerugian tanaman.

Agrobank percaya bahawa daya tahan sektor padi bermula dengan pesawah yang mempunyai akses kepada modal, perlindungan dan sokongan yang bersesuaian. Justeru, Agrobank akan terus memainkan peranan sebagai rakan pembangunan dalam memperkukuh kesejahteraan pesawah dan kelangsungan industri padi negara.

Agrobank menegaskan akan terus menyediakan sokongan pembiayaan dan perlindungan bersesuaian bagi memperkukuh kebajikan pesawah serta memastikan kelangsungan industri padi negara.

 

END

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!