Disangka rabun, rupanya mata kanan sudah buta

KOTA BHARU - "Ibu bila nak buat cermin mata, mata adik tak nampak?"
Demikian kata-kata yang sering diulang oleh Nur Adelia Azzahra Mohd Rosli, 8, kepada ibunya, Aida Che Mustafa, 44, sejak pertengahan tahun lalu.
Pelajar Darjah Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Marak itu mula mengalami masalah penglihatan pada mata sebelah kanannya ketika usia tujuh tahun sekitar Jun 2025.
Menurut Aida, sehingga sekarang dia merasa bersalah terhadap anak ketiga daripada empat beradik itu apabila mengenangkan permintaannya untuk memeriksa mata setiap kali melihat kedai cermin mata.
"Saya mungkin tidak dapat memaafkan diri sendiri jika mata anak buta. Apabila doktor memberitahu mata kanan anak sudah tidak dapat melihat pada Selasa lalu, saya hanya menangis dan menyalahkan diri sendiri.
"Semuanya bermula apabila Nur Adelia memberitahu dia ingin memeriksa mata sejak pertengahan tahun lalu. Pada awalnya, saya ingatkan dia alami rabun dan ingin memakai cermin mata seperti mana kakak keduanya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) di sini pada Ahad.

Menurut guru tuisyen itu, disebabkan kesibukan kerja serta tidak menyangka apa yang dilalui anaknya itu serius, permintaan Nur Adelia sering diabaikan.
Ujarnya, sehinggalah ketika ada program di sekolah, Nur Adelia telah pergi sendiri ke salah satu reruai yang menawarkan perkhidmatan pemeriksaan mata percuma dan semasa pemeriksaan dibuat didapati mata sebelah kanan anaknya tidak dapat melihat.
"Apabila dia maklum pada saya ingatkan hanya rabun dan mengambil keputusan untuk membuat pemeriksaan mata dengan HPUSM sebelum membuat cermin mata. Sehingga Khamis dua minggu lalu, pihak sekolah memaklumkan ada pemeriksaan mata akan dibuat oleh pihak HPUSM di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bachok dan Nur Adelia terpilih.
"Semasa pemeriksaan dibuat doktor memaklumkan mata kanannya tidak dapat melihat. Dia perlu dirujuk ke hospital. Nur Adelia dimasukkan ke dalam wad pada Selasa dan menjalani pembedahan pada Khamis minggu lalu," katanya.
Menurut dia, hasil pemeriksaan doktor yang merawat Nur Adelia iaitu Pakar Bedah Pediatrik ORL (Telinga, Hidung, Tengkak), Dr Azliana Aziz memaklumkan anaknya itu mengalami radang sinus spenoid di mana mata kanannya telah buta dan perlu menjalani pembedahan dengan segera.
Ujar Aida, pihak doktor memberitahu mata kanan anaknya sudah tidak melihat langsung dan ketika itu dia hanya mampu menangis serta merasa bersalah terhadap anaknya apabila mengenangkan nasib Nur Adelia yang masih kecil.
"Alhamdulillah, sebaik selesai pembedahan pada hari Jumaat, doktor memaklumkan mata kanan Nur Adelia boleh melihat kembali seperti biasa dan ia adalah satu keajaiban serta yang pertama berlaku di HPUSM," katanya.
Menurut Dr Azliana, Nur Adelia mempunyai masalah hidung di mana terdapat 'isi' (tisu yang tebal) di dalamnya sehingga menyebabkan dia perlu menjalani pembedahan segera.
"Untuk kes ini ia terlalu 'rare' apabila keadaan hidungnya biasa sepertimana kanak-kanak lain cuma Nur Adelia mengadu matanya tidak nampak.
"Kita cuba ikhtiar sebaik mungkin kerana mata Nur Adelia sudah tidak dapat melihat ketika itu dan elak daripada merebak ke otak. Alhamdulillah oleh kerana kes ini cepat dikesan dan tindakan segera diambil, mata kanan Nur Adelia berjaya melihat semula. Kita cuba sebaik mungkin dengan memberikan ubat serta antibiotik yang paling tinggi selain pembedahan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

