[VIDEO] 'Dia cakap penat, lepas itu hanya senyum' – Kata-kata terakhir Lans Koperal Nur Hafiz kepada ibu

A
A
A

KOTA BHARU – “Dia asyik cakap dengan ibu, dia penat,"

Demikian kata Nurlella Rahim, 34, kakak sulung Allahyarham Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Rahim, 29, memberitahu adiknya sempat menghubungi ibu mereka menerusi panggilan video sebelum tragedi renjatan elektrik di Sabah pada Khamis.

Nurlella menunjukkan gambar Mohamad Nur Hafiz yang ada dalam telefon bimbitnya.
Nurlella menunjukkan gambar Mohamad Nur Hafiz yang ada dalam telefon bimbitnya.

Menurutnya, dalam perbualan itu, keluarga tidak menyangka ia menjadi petanda sebelum mereka kehilangan anak bongsu itu buat selama-lamanya.

“Dia asyik cakap dengan ibu, dia penat. Lepas itu, dia macam kurang respons dan hanya senyum,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pangkal Kuang, Ketereh di sini pada Sabtu.

Nurlella berkata, percutian bersama adik-beradik pada Mei lalu pula menjadi kenangan terakhir mereka bersama Allahyarham yang disifatkannya sebagai seorang yang periang dan sangat rapat dengan keluarga.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga anggota polis maut terkena renjatan elektrik

Jolok kelapa guna galah besi punca tiga polis maut terkena renjatan elektrik

Artikel Berkaitan:

Sabah Electricity siasat punca tiga anggota polis maut terkena renjatan elektrik

Anwar arah siasatan menyeluruh kejadian anggota polis maut di Beaufort

Menurutnya, Mohamad Nur Hafiz merupakan antara adik-beradik yang paling sukar mendapatkan cuti berikutan sudah lima hingga enam tahun bertugas di Sabah.

Justeru, setiap kepulangannya ke Kelantan amat dinantikan keluarga dan mereka akan mengambil peluang untuk berkumpul bersama.

“Dia dah lima hingga enam tahun bertugas di Sabah. Kami memang akan tunggu dia balik, kali terakhir kami bercuti bersama ibu di Pulau Pinang.

“Lepas itu kami memang rancang nak berkumpul lagi apabila dia dapat cuti seterusnya pada Disember, tetapi tidak sangka dia tidak sempat,” katanya.

Keluarga yang mengaminkan doa semasa upacara pengebumian jenazah.
Keluarga yang mengaminkan doa semasa upacara pengebumian jenazah.

Nurlella berkata, walaupun masing-masing bekerja dan tinggal berjauhan, hubungan mereka sekeluarga kekal akrab dan hampir setiap hari berhubung menerusi panggilan video secara berkumpulan.

Mohamad Nur Hafiz merupakan antara tiga anggota polis yang terkorban dalam tragedi renjatan elektrik selepas dipercayai terkena arus ketika menggunakan galah besi untuk mengait buah kelapa di luar Balai Polis Weston, Beaufort, Sabah pada Khamis.

Dua lagi anggota yang terkorban ialah Koperal Chiu Teck Siong, 40, dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, 26.

Jenazah Mohamad Nur Hafiz menjalani bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada Jumaat sebelum diterbangkan ke Pangkalan Udara Kuantan, Pahang.

Jenazah Allahyarham kemudian tiba di kediaman keluarganya di Kampung Hutan Pasir, Ketereh pada jam 4.45 pagi Sabtu sebelum dikebumikan.

Ibunya (tengah) yang dipegang Nurlella (kanan) untuk mendekati pusara Allahyarham.
Ibunya (tengah) yang dipegang Nurlella (kanan) untuk mendekati pusara Allahyarham.

Dalam pada itu, Nurlella berkata, isteri Allahyarham, Fatimah Syaera Zahrul Saharudin, 28, sebelum ini menjalani kehidupan jarak jauh (PJJ) kerana masing-masing bekerja di negeri berbeza.

Katanya, Fatimah kemudian berhenti kerja sebelum membawa anak mereka, Hariz Idraqi, 2, mengikuti Allahyarham ke Sabah dan baru setahun tinggal bersama.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pangkal Kuang pada jam 7.45 pagi Sabtu.

Keluarga turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, terutama Polis Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia yang membantu membawa pulang jenazah serta melancarkan urusan pengebumian Allahyarham.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!