Ke arah Tabung Haji kekal cemerlang

SHAH ALAM – Kejayaan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) mengekalkan kecemerlangan kedudukan kewangan dan perkhidmatan haji membuktikan proses transformasi yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu mula membuahkan hasil.
Lebih enam dekad selepas penubuhannya, institusi itu terus memainkan peranan penting membantu jutaan umat Islam di Malaysia membuat persediaan kewangan dan menunaikan ibadah haji secara tersusun, selamat serta patuh syariah.
Dalam berdepan landskap ekonomi dan kewangan yang semakin mencabar, Tabung Haji memperkukuh tadbir urus, pengurusan kewangan dan penyampaian perkhidmatan bagi memastikan institusi itu kekal relevan, kukuh dan mampan untuk generasi akan datang.
Usaha pembaharuan berkenaan bukan sekadar memberi tumpuan kepada prestasi kewangan, sebaliknya turut memastikan amanah menguruskan simpanan hampir 9.8 juta pendeposit terus dipelihara dengan penuh tanggungjawab.
Simpanan pendeposit yang dijamin sepenuhnya oleh kerajaan pula memberi keyakinan kepada rakyat bahawa wang yang dikumpulkan bagi tujuan menunaikan ibadah haji diurus secara berhemah dan bertanggungjawab.
Pada masa sama, keupayaan Tabung Haji menguruskan jemaah turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila menerima pengiktirafan tertinggi Kerajaan Arab Saudi menerusi Anugerah Labaytum Diamond Award bagi tahun 2025 dan 2026.
Pengiktirafan itu mencerminkan keupayaan Tabung Haji bukan sahaja dalam menguruskan dana secara berhemat, malah menyediakan perkhidmatan haji bertaraf dunia kepada jemaah Malaysia.
Usaha memperkukuh institusi itu turut dipacu barisan kepimpinan berpengalaman dalam sektor kewangan dan pengurusan institusi.
Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain yang dilantik pada 2023 membawa pengalaman lebih empat dekad dalam industri perbankan dan kewangan.

“Tanggungjawab menerajui Tabung Haji adalah satu khidmat kepada negara dan ummah, dengan tekad memastikan institusi ini kembali kukuh serta terus diyakini masyarakat,” kata Abdul Rashid yang merupakan Pengasas Kumpulan RHB.
Abdul Rashid bergandingan dengan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Mustakim Mohamad yang dilantik pada 2025 selepas hampir 23 tahun berkhidmat dalam pelbagai portfolio di institusi berkenaan.
Gabungan pengalaman korporat dan pengetahuan mendalam mengenai operasi Tabung Haji menjadi antara pemangkin kepada pelaksanaan pembaharuan strategik secara menyeluruh.
Sejak pelaksanaan pelan pemulihan dan penstrukturan semula, Tabung Haji melalui transformasi meliputi aspek tadbir urus, pengurusan risiko, pematuhan, ketelusan, kawalan dalaman serta pengurusan kewangan.
Pembaharuan itu bukan sekadar melibatkan perubahan struktur organisasi, malah membentuk budaya kerja baharu yang menekankan integriti, akauntabiliti dan profesionalisme dalam setiap keputusan.
Matlamatnya adalah memastikan Tabung Haji terus menjadi institusi kewangan Islam yang kukuh, berdaya tahan dan diyakini, selaras dengan aspirasi pengasasnya, Allahyarham Profesor Diraja Emeritus Ungku Aziz yang menubuhkan Tabung Haji pada 1963 bagi membantu umat Islam menyimpan wang untuk menunaikan ibadah haji.
Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, penstrukturan semula Tabung Haji memberi tumpuan kepada sembilan bidang utama termasuk memperkukuh kedudukan kewangan, meningkatkan tadbir urus, memperbaiki kualiti pelaburan dan meningkatkan pulangan kepada pendeposit secara bertanggungjawab.
Turut diberi perhatian ialah memastikan kemampuan menunaikan haji, memelihara kebajikan pendeposit, mengekalkan kecemerlangan perkhidmatan haji, mengukuhkan kepimpinan profesional serta membina institusi yang lebih berdaya tahan.
Prestasi kewangan terus meningkat
Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata, hasil disiplin kewangan yang lebih mantap serta pengurusan pelaburan dan risiko yang lebih berhemat, kedudukan kewangannya terus menunjukkan peningkatan.

Prestasi itu turut membolehkan kadar agihan keuntungan kepada pendeposit meningkat secara konsisten daripada 3.10 peratus bagi tahun kewangan 2023 kepada 3.25 peratus pada 2024 dan 3.50 peratus bagi tahun kewangan 2025.
“Pada masa sama, Tabung Haji terus memberi penekanan terhadap kelestarian jangka panjang sistem haji negara menerusi usaha meningkatkan kesedaran mengenai kos sebenar menunaikan haji dan menggalakkan pendeposit membuat persediaan kewangan lebih awal.
“Pendekatan ini menyumbang kepada penurunan kadar penangguhan tawaran haji daripada sekitar 50 peratus kepada hanya 18 peratus pada musim haji 2026,” katanya.
Abdul Rashid berkata, Tabung Haji turut memperkenalkan kempen #MenujuIstitoah bagi membudayakan persediaan haji secara menyeluruh dan berperingkat.
“Inisiatif berkenaan memberi penekanan kepada empat aspek istito’ah atau kemampuan iaitu kewangan, kesihatan, keselamatan dan kebenaran (kuota), bagi memastikan bakal jemaah benar-benar bersedia sebelum menerima panggilan menunaikan ibadah haji,” ujarnya.
Sementara itu, Abdul Rashid berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen Tabung Haji untuk terus membantu umat Islam di Malaysia merealisasikan impian menunaikan ibadah haji.
“Misi utama Tabung Haji adalah membantu umat Islam di negara ini merealisasikan impian haji mereka. Ibadah yang menjadi rukun Islam kelima ini memerlukan niat yang tulus serta persediaan yang rapi.
“Kami mahu menjadikan perjalanan itu lebih mudah, lebih lancar dan lebih tersusun melalui pendidikan, pendigitalan serta penambahbaikan perkhidmatan,” katanya.
Senada dengan Abdul Rashid, Mustakim berkata, Tabung Haji turut memperbaharui platform digital dan laman sesawangnya supaya lebih mesra pengguna, selain memperkenalkan Kalkulator Simpanan Haji bagi membantu orang ramai merancang simpanan secara lebih realistik dan sistematik.
“Langkah itu diharap dapat menggalakkan budaya simpanan yang lebih konsisten dalam kalangan pendeposit sekali gus menjamin kelestarian dana haji untuk jangka panjang,” katanya.
Amanah untuk generasi akan datang
Transformasi yang dilaksanakan membuktikan Tabung Haji bukan lagi sekadar memberi tumpuan kepada pemulihan institusi, sebaliknya membina asas lebih kukuh bagi menjamin kelestarian amanah untuk jangka panjang.
Dengan memperkukuh tadbir urus, kewangan, pelaburan dan perkhidmatan, Tabung Haji terus melangkah ke hadapan dengan iltizam memastikan amanah menguruskan simpanan pendeposit serta membimbing umat Islam menuju Baitullah kekal terpelihara.
Segala usaha ini menjurus kepada satu matlamat, iaitu memastikan manfaat Tabung Haji terus dinikmati bakal jemaah, pendeposit dan generasi umat Islam Malaysia pada masa hadapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

