1,524 kes serangan hidupan liar direkod, pembukaan tanah, pengecilan habitat antara faktor - Perhilitan

Abdul Kadir
Abdul Kadir
A
A
A

SHAH ALAM - Pengecilan habitat, pembukaan tanah dan pembangunan di kawasan berdekatan hidupan liar antara faktor konflik manusia dan hidupan liar.

Ketua Pengarah Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya merekodkan 1,524 kes serangan hidupan liar terhadap manusia sejak tahun 2020 hingga Julai lalu dengan sejumlah 1,470 kes ialah melibatkan kecederaan, manakala 54 kes melibatkan kematian.

Menurutnya, konflik manusia dan hidupan liar ini disebabkan oleh beberapa faktor iaitu pengecilan kawasan habitat, pembukaan tanah dan pembangunan di kawasan berdekatan habitat hidupan liar telah menyebabkan pemisahan dan kehilangan habitat semula jadi.

"Keadaan ini menyebabkan hidupan liar menjadikan kawasan berhampiran hutan, kawasan kebun dan kampung berdekatan sebagai kawasan rayau baharu.

"Selain itu, tindakan segelintir masyarakat dan penduduk yang memberi makanan kepada hidupan liar khususnya primat juga menggalakkan berlakunya konflik antara manusia dan kera.

"Pengurusan sisa sampah domestik yang kurang sistematik turut menyumbang kepada peningkatan kehadiran dan aduan konflik di penempatan penduduk," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kadar pembiakan hidupan liar khususnya spesies primat yang tinggi juga menyebabkan populasi hidupan liar ini bertambah setiap tahun kerana hidupan liar ini merupakan spesies yang mudah beradaptasi dengan persekitaran dan mempunyai kemandirian serta kelangsungan hidup (survival) yang tinggi.

Jelasnya, di samping itu, peningkatan kesedaran awam mengenai konflik hidupan liar serta kemudahan akses kepada media massa dan platform aduan yang disediakan oleh jabatan telah memperkukuh keupayaan pihak kerajaan dalam menerima maklumat serta aduan yang lebih komprehensif daripada masyarakat.

Tambahnya, pendekatan terbaharu Perhilitan kini memfokuskan kepada kewujudan bersama (coexistence) berasaskan teknologi untuk mengurus konflik manusia dan hidupan liar tanpa bergantung sepenuhnya kepada kaedah konvensional tangkap-pindah.

Artikel Berkaitan:

"Bagi menggantikan proses translokasi (tangkap dan pindah) yang memerlukan kos tinggi serta perancangan saintifik yang rumit, Perhilitan telah mengintegrasikan langkah mitigasi moden Kolar Satelit GPS.

"Ia dipasang pada ketua kawanan gajah liar untuk memantau pergerakan mereka secara masa nyata (real-time).

"Sistem amaran awal akan dicetuskan sekiranya kawanan tersebut menghampiri sempadan kebun atau penempatan penduduk," ujarnya.

Katanya lagi, selain itu Dron Termal juga digunakan oleh unit rondaan untuk mengesan keberadaan hidupan liar seperti gajah atau harimau di dalam semak tebal secara selamat sebelum haiwan tersebut memasuki kawasan kampung.

"Bagi penggunaan Kamera Sensor Pintar (Camera Traps), ia berfungsi mengawasi laluan panas (hotspot) pencerobohan bagi mengumpul data corak tingkah laku haiwan demi tindakan pengawalan awal," ujarnya.

Justeru, kerjasama daripada pelbagai pihak dan lapisan masyarakat amat diperlukan bagi memastikan keberkesanan usaha konservasi hidupan liar negara.

"Rakyat Malaysia sentiasa diseru untuk bertindak sebagai mata dan telinga kerajaan dengan melaporkan segera sebarang kacau ganggu dan konflik yang melibatkan hdiupan liar.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri yang mungkin akan membahayakan diri. Aduan boleh dibuat melalui hotline 1-800-88-5151 atau portal e-Aduan Jabatan Perhilitan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!