Kes serangan seksual OKU libatkan Rohingya: Polis nasihat jangan ambil tindakan sendiri

Mohd Khairi menasihati orang awam supaya tidak menyalahgunakan platform media sosial dengan menyebarkan spekulasi, maklumat tidak sahih atau kenyataan berunsur provokasi.
Mohd Khairi menasihati orang awam supaya tidak menyalahgunakan platform media sosial dengan menyebarkan spekulasi, maklumat tidak sahih atau kenyataan berunsur provokasi.
A
A
A

​KUALA TERENGGANU – Polis memberi peringatan tegas kepada orang awam agar tidak mengambil tindakan sendiri atau menyalahi undang-undang berikutan penahanan tiga lelaki etnik Rohingya yang disyaki merogol seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) Intelektual di Kampung Besut, Kemaman.

​Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, sebarang tindakan keterlaluan bukan sahaja boleh mengganggu gugat ketenteraman awam, malah menjejaskan proses siasatan yang sedang berjalan.

​"PDRM ingin menasihatkan dan memberi peringatan tegas kepada seluruh lapisan masyarakat agar tidak mengambil tindakan sendiri bertentangan undang-undang terhadap warga asing.

"Serahkan sepenuhnya urusan dan tindakan siasatan kepada pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan malam tadi.

​Peringatan itu susulan perhimpunan penduduk tempatan di Flat Kampung Enjin Gergaji, Chukai, Kemaman yang diadakan bagi menyuarakan rasa tidak puas hati berikutan kes jenayah melibatkan warga asing di kawasan berkenaan.

​Walau bagaimanapun, Mohd Khairi mengesahkan, perhimpunan tersebut telah bersurai secara aman hasil perbincangan dan penerangan yang diberikan oleh pihak polis.

​Mengulas mengenai kes berkenaan, beliau memberitahu PDRM Kontinjen Terengganu menerima laporan pada 7 Ogos lalu berhubung kejadian rogol melibatkan mangsa wanita OKU berusia 23 tahun.

​Bertindak atas maklumat, katanya, polis telah menahan tiga lelaki warga asing berkenaan dan memperoleh perintah reman selama lima hari bermula 8 Ogos hingga 12 Ogos ini di Mahkamah Majistret Kemaman.

​Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan mandatori jika disabitkan kesalahan.

Artikel Berkaitan:

​Dalam pada itu, Mohd Khairi turut menasihati orang awam supaya tidak menyalahgunakan platform media sosial dengan menyebarkan spekulasi, maklumat tidak sahih atau kenyataan berunsur provokasi.

​Beliau mengingatkan bahawa tindakan tegas boleh diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang membawa hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

​"PDRM memberi jaminan siasatan dijalankan secara telus, adil dan tegas mengikut peruntukan undang-undang.

"Mereka yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya ke balai polis berdekatan, Bilik Gerakan Daerah (DCC) atau aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!