Program Iltizam Huffaz buka peluang pelajar tahfiz ceburi bidang profesional

Mohd Sukki (empat dari kiri) menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan pada Majlis Graduasi Iltizam Huffaz.
Mohd Sukki (empat dari kiri) menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan pada Majlis Graduasi Iltizam Huffaz.
A
A
A

KEPALA BATAS- Program Iltizam Huffaz Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) memberi peluang kepada pelajar tahfiz mendapatkan kelayakan akademik menerusi Program Persediaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekali gus membuka ruang lebih luas untuk mereka melanjutkan pengajian dan menceburi bidang profesional.

Program inisiatif Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) di bawah kelolaan YIPP itu diwujudkan bagi memastikan golongan huffaz tidak tercicir daripada arus pendidikan akademik selain mempunyai peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, negara memerlukan lebih ramai golongan huffaz yang bukan sahaja menguasai al-Quran malah mempunyai kecemerlangan akademik, kemahiran insaniah dan kepimpinan tinggi.

Menurutnya, gabungan ilmu wahyu dan ilmu aqli mampu melahirkan generasi Muslim yang dapat memimpin masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

Beliau yang juga Pengerusi YIPP berkata, Program Iltizam Huffaz itu membuktikan kejayaan daripada tahun ke tahun apabila seramai 219 pelajar tahfiz mendapat manfaat daripada program itu sejak 2022 hingga 2025.

"Kadar kelayakan SPM bagi program berkenaan melebihi 97 peratus pada 2022 dan 2023 manakala pada 2024 seramai 12 pelajar berjaya memperoleh keputusan cemerlang.

“Bagi 2025, kadar kelayakan meningkat kepada 98 peratus, iaitu pencapaian terbaik sejak program ini diperkenalkan, dengan lapan pelajar memperoleh keputusan cemerlang 4A dan ke atas,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Graduasi Iltizam Huffaz di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman.

Artikel Berkaitan:

Mohd Sukki (tengah) bersama graduan pada Program Iltizam Huffaz YIPP yang diadakan di Kepala Batas pada Sabtu.
Mohd Sukki (tengah) bersama graduan pada Program Iltizam Huffaz YIPP yang diadakan di Kepala Batas pada Sabtu.

Mohamad menambah, pencapaian itu membuktikan pelajar tahfiz juga mampu bersaing dalam bidang akademik sekiranya diberikan peluang, bimbingan dan sokongan sewajarnya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada MAINPP yang terus komited membangunkan pendidikan anak-anak tahfiz menerusi pembiayaan daripada Dana Zakat MAINPP.

"Program Iltizam Huffaz menerima suntikan dana berjumlah RM177,200 bagi 2026 menerusi Zakat MAINPP.

“Peruntukan ini digunakan bagi membiayai pelaksanaan program termasuk pengurusan akademik, elaun tenaga pengajar, penyediaan bahan pembelajaran serta pelbagai keperluan berkaitan bagi memastikan para pelajar mendapat pendidikan berkualiti,” katanya.

Beliau menambah, dana zakat yang disalurkan bukan sekadar bantuan kewangan sebaliknya satu pelaburan jangka panjang dalam membangunkan modal insan Islam yang berilmu, berakhlak dan mampu menyumbang kepada kemajuan Pulau Pinang.

"Program Iltizam Huffaz juga selari dengan aspirasi Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 khususnya Teras 2 berkaitan pembangunan pendidikan melalui konsep Pendidikan Bersepadu yang menggabungkan hafazan al-Quran dengan pendidikan akademik.

"Program ini turut menyokong Teras 4 iaitu Pembangunan Anak Muda bagi melahirkan generasi muda Islam yang berilmu, berdaya saing, berakhlak mulia dan mempunyai jati diri kukuh," tambahnya lagi.

Sementara itu, seramai 50 graduan Iltizam Huffaz Sesi 2025 diraikan dalam majlis graduasi berkenaan selain penghargaan diberikan kepada 12 tenaga pengajar yang mendidik dan membimbing para pelajar.

Mohamad berkata, YIPP akan terus memperkukuh Program Iltizam Huffaz menerusi kerjasama strategik bersama MAINPP, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, institusi pengajian tinggi, sektor korporat dan pelbagai agensi berkaitan supaya lebih ramai pelajar tahfiz mendapat manfaat pada masa hadapan.

"Usaha berkenaan penting bagi melahirkan generasi huffaz profesional yang mampu menyumbang dalam pelbagai bidang termasuk perubatan, kejuruteraan, sains, pendidikan, keusahawanan, perkhidmatan awam dan kepimpinan masyarakat," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YIPP, Dr Mohamad Sofee Razak berkata, seramai 169 pelajar yang mengikuti Program Iltizam Huffaz bagi sesi 2022 hingga 2025 kini melangkah ke fasa baharu kehidupan dengan sebahagiannya berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi manakala yang lain menceburi alam pekerjaan.

Menurutnya, berdasarkan data pengesanan alumni, seramai 93 orang atau 61.8 peratus daripada 169 lepasan program berkenaan berjaya menyambung pengajian.

Menurutnya, mereka melanjutkan pengajian di pelbagai institusi pengajian tinggi dan pusat pengajian Islam dalam serta luar negara, termasuk Universiti Al-Azhar di Mesir, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Islam Selangor, UniSHAMS dan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang.

“Sebahagian yang lain turut menyambung pengajian di Perda Tech, GiatMara serta beberapa institusi pengajian lain manakala 47 orang atau 38.2 peratus telah memasuki alam pekerjaan dan kini berkhidmat dalam pelbagai bidang.

"Antara kerjaya diceburi lepasan Program Iltizam Huffaz termasuk imam masjid, guru agama, tenaga pengajar tahfiz, ustaz, penceramah bebas dan usahawan. Terdapat juga alumni yang bekerja dalam sektor perindustrian, perkilangan, logistik, hospitaliti serta pelbagai bidang perkhidmatan.

“Perkembangan ini membuktikan graduan Program Iltizam Huffaz mampu menyesuaikan diri dengan keperluan semasa, selain memberikan sumbangan kepada pembangunan agama, masyarakat dan ekonomi negara,” katanya.

Ends.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!