MBPP biayai pemeriksaan bangunan warisan, elak insiden runtuhan berulang

Kejadian runtuhan struktur bangunan warisan di Lebuh Armenian yang menyebabkan dua pelancong Sri Lanka tercedera pada Selasa lalu. Gambar kecil: Rajendran
Kejadian runtuhan struktur bangunan warisan di Lebuh Armenian yang menyebabkan dua pelancong Sri Lanka tercedera pada Selasa lalu. Gambar kecil: Rajendran
A
A
A

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan membiayai kos pelantikan juruperunding dan pakar kawalan anai-anai bagi menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap bangunan warisan di negeri ini sebagai langkah proaktif mengelakkan kejadian runtuhan struktur berulang.

Datuk Bandar MBPP, Datuk A Rajendran berkata, langkah itu diambil susulan kejadian bumbung sebuah bangunan warisan yang terjejas akibat serangan anai-anai serta rekahan struktur yang dipercayai berpunca daripada kerja pengubahsuaian sebelum ini.

Menurutnya, pemeriksaan akan dimulakan di kawasan warisan di bahagian pulau yang menempatkan 82 bangunan warisan Kategori 1 dan 771 bangunan warisan Kategori 2, walaupun tanggungjawab memeriksa keadaan struktur bangunan sebenarnya terletak di bawah pemilik premis.

“Kita tidak mahu menunggu sehingga berlaku kejadian runtuh baru nak ambil tindakan. Sebab itu MBPP akan melantik juruperunding sendiri untuk menilai sama ada sesebuah bangunan itu selamat atau sebaliknya.

“Sekiranya didapati kurang selamat, kita akan keluarkan notis supaya pemilik menjalankan kerja pembaikan atau mengosongkan bangunan jika keadaannya terlalu berbahaya,” katanya pada sidang akhbar di Ibupejabat MBPP di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Rajendran berkata, MBPP juga akan melantik pakar kawalan anai-anai bagi menjalankan pemeriksaan terhadap komponen kayu seperti rasuk dan rangka bumbung yang berisiko mengalami kerosakan dalaman tanpa dapat dikesan dari luar.

“Bangunan mungkin kelihatan elok dari luar tetapi bahagian dalam sebenarnya telah dimakan anai-anai.

"Sebab itu pemeriksaan khusus perlu dilakukan bagi mengesan kerosakan yang tidak dapat dilihat secara fizikal,” ujarnya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, dua pelancong Sri Lanka cedera dalam kejadian runtuhan struktur bangunan di sebuah premis bangunan warisan di Lebuh Armenian di sini.

Artikel Berkaitan:

Kejadian yang dilaporkan pada jam 1.11 petang, Selasa itu melibatkan runtuhan batu dan kayu dari bahagian rasuk di tingkat sebuah bangunan Poh Thye Hoe yang berusia lebih 81 tahun.

Mengulas kejadian bumbung bangunan terjejas, beliau berkata, kerosakan dipercayai berpunca daripada gabungan serangan anai-anai dan rekahan yang berlaku selepas pengubahsuaian melibatkan pengalihan rasuk.

Katanya, pemilik premis telah diarahkan menanggalkan bahagian yang tidak selamat manakala kawasan sekitar dipasang pita keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga.

“Jika pemeriksaan mendapati masih terdapat risiko kepada orang awam, kita akan memasang penyokong sementara bagi memastikan keselamatan di lokasi.

“Notis kepada pemilik juga telah dikeluarkan pada hari kejadian supaya kerja pembaikan dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, MBPP akan mengadakan sesi libat urus bersama pemilik bangunan dan pihak berkepentingan bagi membincangkan cadangan mewajibkan pemeriksaan kestabilan struktur dilakukan secara berkala.

Menurutnya, antara cadangan yang sedang diperhalusi ialah menetapkan tempoh tertentu sama ada setiap dua atau tiga tahun untuk pemilik melantik jurutera perunding menyediakan laporan mengenai kestabilan struktur bangunan masing-masing.

“Perkara ini masih di peringkat perbincangan kerana kita perlu mendapatkan pandangan semua pihak berkepentingan sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan MBPP sentiasa menjalankan pemantauan terhadap bangunan lama dan setakat ini telah mengeluarkan notis kepada 66 bangunan yang kurang diselenggara serta 63 bangunan usang yang dikenal pasti memerlukan tindakan.

“Sebahagian bangunan telah dikosongkan namun masih terdapat bangunan usang yang didiami dan memerlukan pemantauan rapi.

“Fokus kita ketika ini adalah mengenal pasti lebih banyak bangunan di kawasan warisan yang memerlukan pemeriksaan serta tindakan awal bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!