Perlu laksana audit bangunan warisan elak insiden runtuhan berulang

GEORGE TOWN – Satu audit struktur yang lebih sistematik serta pemeriksaan berkala terhadap bangunan warisan khususnya yang menggunakan struktur kayu atau berusia ratusan tahun perlu dilaksanakan bagi mengelakkan insiden runtuhan seperti yang berlaku di Lebuh Armenian berulang.
Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying berkata, pemeriksaan itu tidak seharusnya tertumpu kepada ancaman anai-anai semata-mata sebaliknya perlu merangkumi keadaan rasuk, bumbung dan komponen struktur lain bagi memastikan bangunan warisan kekal selamat.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pasukan perubatan serta semua agensi yang terlibat atas tindakan pantas mengawal keadaan, menyelamatkan mangsa dan memastikan keselamatan orang awam.
“Keselamatan awam mesti menjadi keutamaan khususnya di kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO yang menjadi tumpuan penduduk serta pelancong dari dalam dan luar negara. Kita tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, dua pelancong Sri Lanka iaitu lelaki berusia 66 tahun dan wanita 55 tahun cedera dalam kejadian runtuhan struktur bangunan di sebuah premis bangunan warisan di Lebuh Armenian di sini.
Kejadian yang dilaporkan pada jam 1.11 petang, Selasa itu melibatkan runtuhan batu dan kayu dari bahagian rasuk di tingkat sebuah bangunan Poh Thye Hoe yang berusia lebih 81 tahun.
Dalam pada itu, Hui Ying menambah, sekiranya siasatan mengesahkan insiden itu berpunca daripada kerosakan struktur, kejadian tersebut perlu dijadikan peringatan kepada semua pemilik bangunan warisan supaya memberikan perhatian lebih serius terhadap aspek penyelenggaraan dan keselamatan struktur premis masing-masing.
"Saya turut menyambut baik langkah Kerajaan Pulau Pinang yang mengarahkan MBPP melaksanakan inisiatif kawalan makhluk perosak di kawasan terlibat walaupun penyelenggaraan bangunan merupakan tanggungjawab pemilik premis," ujarnya lagi.
Selain itu, katanya, arahan kepada George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) bersama MBPP supaya mengeluarkan nasihat am kepada semua pemilik bangunan warisan untuk menjalankan pemeriksaan keselamatan ke atas premis masing-masing juga merupakan tindakan yang tepat dan wajar.
Menurut beliau, semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan Parlimen Tanjong sentiasa bersedia bekerjasama rapat dengan MBPP, agensi teknikal serta pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan keselamatan bangunan warisan terus terpelihara.
Katanya lagi, pihaknya juga komited membantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penyelenggaraan serta aspek keselamatan bangunan warisan.
“Warisan George Town merupakan khazanah yang tidak ternilai. Tanggungjawab kita bukan sahaja memelihara nilai sejarah dan kebudayaannya malah memastikan setiap bangunan warisan kekal selamat untuk penduduk, peniaga dan para pelancong.
“Saya akan terus mengikuti perkembangan siasatan dan bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan langkah-langkah penambahbaikan yang sewajarnya dapat dilaksanakan demi keselamatan semua,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

