Anwar arah siasatan menyeluruh kejadian anggota polis maut di Beaufort

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan segera berhubung kejadian yang mengorbankan tiga anggota polis, dipercayai akibat renjatan elektrik di Kampung Weston, Beaufort, Sabah pada Khamis.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, siasatan itu penting bagi mengenal pasti punca kejadian tragis berkenaan, selain memastikan langkah penambahbaikan dapat diambil bagi mengelakkan insiden sama berulang.
"Saya telah meminta agar siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan segera bagi mengenal pasti punca kejadian tragis ini. Langkah penambahbaikan perlu diambil supaya tragedi seperti ini tidak berulang,” kata beliau.

Perdana Menteri turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan seluruh warga PDRM atas kehilangan tiga anggota berkenaan.
"Jasa dan pengorbanan mereka dalam memelihara keamanan serta keselamatan negara akan sentiasa dikenang,” kata beliau.
Menurut maklumat awal Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, tiga anggota polis yang maut dikenal pasti sebagai Chiu Teck Siong, 40, Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Muhammad Raimi Ismarubee, 26.
Sebelum ini, kejadian berkenaan tular menerusi beberapa rakaman video di media sosial yang memaparkan tiga individu terbaring di atas jalan, manakala orang awam serta beberapa individu lain berada di lokasi kejadian. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Tiga anggota polis maut terkena renjatan elektrik
Jolok kelapa guna galah besi punca tiga polis maut terkena renjatan elektrik
Sabah Electricity siasat punca tiga anggota polis maut terkena renjatan elektrik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
