Maut renjatan elektrik: Jenazah tiga anggota polis diterbangkan pulang ke kampung halaman

KOTA KINABALU - Penghantaran pulang jenazah anggota polis yang maut akibat renjatan elektrik di Beaufort dilaksanakan malam ini menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tinjauan Bernama mendapati pesawat TUDM membawa jenazah Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini jam 7.10 malam pada Jumaat.
Pesawat itu dijadual menuju ke Pangkalan Udara TUDM di Kuantan, Pahang sebelum meneruskan penerbangan ke Pangkalan Udara TUDM di Gong Kedak, Terengganu.
Jenazah seorang lagi yang terkorban dalam tragedi itu Koperal Chiu Teck Siong dibawa ke Lapangan Terbang PGU PDRM di sini sebelum diterbangkan pesawat pasukan itu ke Sarawak.
Ketiga-tiga jenazah itu terdahulu selesai menjalani proses bedah siasat pada 12 tengah hari sebelum dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth kira-kira 2.56 petang bagi proses penghantaran pulang ke kampung halaman masing-masing malam ini.
Chiu, 40, berasal dari Sarawak, Mohamad Nur Hafiz, 29, dari Kelantan dan Muhammad Raimi, 26, dari Terengganu meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di luar Balai Polis Weston, Beaufort pada jam 5.50 petang pada Khamis. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
