Sabah Electricity siasat punca tiga anggota polis maut terkena renjatan elektrik

Sabah Electricity menyiasat punca kejadian renjatan elektrik yang mengorbankan tiga anggota polis di Kampung Weston, Beaufort. Foto JBPM Sabah
Sabah Electricity menyiasat punca kejadian renjatan elektrik yang mengorbankan tiga anggota polis di Kampung Weston, Beaufort. Foto JBPM Sabah
A
A
A

KOTA KINABALU - Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) sedang menyiasat punca sebenar kejadian renjatan elektrik di Kampung Weston, Beaufort pada petang Khamis.

Dalam kenyataan pada Khamis, Sabah Electricity mengesahkan insiden itu yang mengorbankan tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Menurut syarikat utiliti berkenaan, pasukan teknikalnya segera digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat bagi memastikan kawasan terbabit berada dalam keadaan selamat.

"Pasukan teknikal Sabah Electricity turut memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan agensi berkaitan dalam siasatan yang sedang dijalankan.

"Pada masa ini, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Sabah Electricity mengesahkan insiden itu yang mengorbankan tiga anggota PDRM. Foto JBPM Sabah
Sabah Electricity mengesahkan insiden itu yang mengorbankan tiga anggota PDRM. Foto JBPM Sabah

Sehubungan itu, Sabah Electricity memohon orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan. 

"Sabah Electricity merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta seluruh warga PDRM dan turut merasa dukacita atas kehilangan tersebut. 

Artikel Berkaitan:

"Sabah Electricity juga komited untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sehingga siasatan selesai serta akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, cubaan menjolok buah kelapa menggunakan galah jenis besi dipercayai punca tiga anggota polis dilaporkan maut terkena renjatan elektrik.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, kesemua anggota polis bertugas di Balai Polis Weston dikenali sebagai Chiu Teck Siong, 40, Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Muhammad Raimi Ismarubee, 26, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam hadir ke Hospital Beaufort bagi memberikan penghormatan terakhir kepada tiga anggota polis terbabit.

Ruslan (dua dari kanan) dan Isnin (kanan) hadir ke Hospital Beaufort bagi memberikan penghormatan terakhir kepada tiga anggota polis terbabit.
Ruslan (dua dari kanan) dan Isnin (kanan) hadir ke Hospital Beaufort bagi memberikan penghormatan terakhir kepada tiga anggota polis terbabit.

Beliau berkata, pemergian anggota keselamatan itu adalah satu kehilangan besar, selain jasa dan pengorbanan mereka dalam menjalankan amanah kepada masyarakat akan terus dikenang.

"Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa dan warga PDRM. Semoga keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi dugaan ini," katanya.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah merangkap ADUN Klias, Datuk Isnin Aliasnih.

ARTIKEL BERKAITAN: Jolok kelapa guna galah besi punca tiga polis maut terkena renjatan elektrik

Tiga anggota polis maut terkena renjatan elektrik 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!