RSNP 2040: Rakyat Pahang diberi ruang kemuka pandangan, cadangan hala tuju pembangunan negeri

Wan Rosdy diberikan taklimat ringkas mengenai profil kawasan dan projek pembangunan tersenarai dalam Draf RSNP 2040.
Wan Rosdy diberikan taklimat ringkas mengenai profil kawasan dan projek pembangunan tersenarai dalam Draf RSNP 2040.
A
A
A

KUANTAN – Rakyat negeri ini diberi ruang mengemukakan pandangan dan cadangan berkaitan hala tuju pembangunan negeri menerusi Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Struktur Negeri Pahang (RSNP) 2040 (Kajian Semula).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, RSNP 2040 yang berlangsung selama sebulan bermula 3 Ogos hingga 2 September depan memberi peluang kepada rakyat meneliti draf berkenaan sebelum mengemukakan sebarang pandangan, cadangan atau bantahan secara bertulis.

Menurutnya, semua maklum balas boleh disalurkan kepada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Pahang atau Pejabat Daerah untuk diteliti dan dipertimbangkan dalam tempoh tersebut.

"Ini satu program di mana kita minta rakyat Pahang melibatkan diri dengan mengambil berat ataupun mengambil tahu apa yang kita buat di Negeri Pahang ini.

"Sekiranya ada apa-apa pandangan mereka boleh memberi pandangan dan kita akan kaji dan teliti pandangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RSNP 2040 (Kajian Semula) serta Majlis Penyerahan Pelan Indikatif Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pahang di sini pada Khamis.

Turut hadir, Ketua Pengarah PLANMalaysia, Datuk Dr Alias Rameli.

Wan Rosdy (tengah) bersama antara wakil daerah yang menerima Buku Pelan Indikatif Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pahang.
Wan Rosdy (tengah) bersama antara wakil daerah yang menerima Buku Pelan Indikatif Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pahang.

Artikel Berkaitan:

Wan Rosdy berkata, pelaksanaan RSNP 2040 bukan bersifat statik sebaliknya boleh disesuaikan mengikut keperluan pembangunan semasa.

Menurutnya, terdapat 51 projek pembangunan strategik termasuk 10 projek bernilai tinggi yang dikenal pasti di seluruh negeri melibatkan pelbagai sektor.

"Jumlahnya berkemungkinan akan bertambah mengikut keperluan semasa. Bukan statik tapi tengok kepada keperluan.

" Bila ada keperluan kita akan mohon dengan Kerajaan Persekutuan. Ia tidak akan habis di situ sahaja,” katanya.

Dokumen tersebut boleh disemak di PLANMalaysia Pahang, Wisma Sri Pahang dan semua Pejabat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Pahang.

Semakan juga boleh dibuat melalui platform e-Publisiti 2.0 dan laman sesawang rasmi PLANMalaysia Pahang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!