Bukan masa salahkan PBT atau JKR, isu pokok tumbang perlu diselesaikan segera - Wan Rosdy

Wan Rosdy meluangkan masa bermain dam dengan salah seorang penduduk dalam program Jelajah Aspirasi Pahang 1st DUN Inderapura di Jeti Nelayan Sungai Belat, Kampung Belukar pada petang Rabu.
Wan Rosdy meluangkan masa bermain dam dengan salah seorang penduduk dalam program Jelajah Aspirasi Pahang 1st DUN Inderapura di Jeti Nelayan Sungai Belat, Kampung Belukar pada petang Rabu.
A
A
A

KUANTAN – Kerajaan Pahang tidak mahu isu pokok tumbang di Bentong berlarutan dengan pertikaian mengenai pihak yang bertanggungjawab, sebaliknya mahu tindakan segera diambil bagi menangani perkara itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, semua pihak berkaitan perlu duduk berbincang bagi mencari jalan penyelesaian susulan kejadian yang mengorbankan empat nyawa pada Isnin lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi kenderaan dihempap pokok tumbang: Ketua Pemuda UMNO Maran, tiga ahli keluarga maut

Empat maut dihempap pokok: Penilaian risiko perlu dipertingkatkan- Young Syefura

Empat maut dihempap pokok: 'Pemergian Mohd Radzi kehilangan besar buat UMNO Pahang'

"Saya telah minta supaya Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff serta Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan, Datuk Ir Razali Kassim selaku pengerusi bersama untuk memanggil semua pihak yang terlibat dengan kadar segera.

"Saya arahkan kalau boleh malam ini (Rabu) berbincang dengan semua pihak berkaitan termasuk JKR, PBT, jurutera daerah dan PTG.

"Saya bagi tahu pihak-pihak yang berkaitan secara langsung hadir untuk mesyuarat dan kita akan buat keputusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Jelajah Aspirasi Pahang 1st Dewan Undangan Negeri (DUN) Inderapura di Jeti Nelayan Sungai Belat, Kampung Belukar pada petang Rabu.

Artikel Berkaitan:

Was Rosdy ketika bercakap kepada pemberita.
Was Rosdy ketika bercakap kepada pemberita.

Pada Isnin, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Mohd Radzi Rahimi, 40, antara empat mangsa maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Lama Bentong.

Turut maut isterinya, Nuriani Mohammad Jafri, 36; anak kembar mereka, Muhammad Rizz Hazim, 5; serta adik iparnya, Mohammad Nizam Mohammad Jafri, 35.

Seorang lagi anak kembar pasangan berkenaan dilaporkan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Bentong.

Pada Selasa, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman menggesa Kementerian Kerja Raya dan JKR memperkukuh pemantauan terhadap pokok matang bagi meningkatkan penilaian risiko serta usaha mitigasi.

Susulan itu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dilapor berkata, tanggungjawab menilai keadaan struktur pokok matang dalam rizab jalan Persekutuan terletak di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT), bukan JKR.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri tidak mahu isu berkenaan berlarutan dengan pertikaian mengenai pihak yang bertanggungjawab, sebaliknya tindakan penyelesaian perlu diberi keutamaan.

Jelasnya, pokok tumbang menghempap kenderaan pacuan empat roda sehingga empat maut itu terletak kira-kira 15 meter dari rizab jalan di Bentong.

"Kita kena move on dan bukan nak kira PBT atau JKR. Perkara telah pun berlaku, jadi tindakan kita ialah untuk menyelesaikan masalah itu dengan segera.

"Mereka akan selesaikan dan kerajaan negeri tidak akan berdiam diri, kita terus ambil tindakan," katanya.

Wan Rosdy turut menjelaskan, kerajaan negeri akan mendapatkan pandangan daripada pihak berkaitan sebelum menentukan tindakan selanjutnya termasuk mengenal pasti pokok berusia.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap pokok berkenaan akan dilakukan dengan memberi keutamaan kepada lokasi tertentu berdasarkan pandangan pihak berkaitan.

“Kita akan lihat pokok tersebut dan keutamaan di lokasi-lokasi tertentu (kerana) Pahang ini luas.

"Kita (juga) akan mendapat pandangan daripada JKR, Pejabat Daerah dan sebagainya, kita ambil tindakan,” katanya.

Menjawab mengenai kebajikan keluarga arwah Mohd Radzi, Wan Rosdy berkata, setakat ini UMNO telah menguruskan segala urusan berkaitan pengangkutan, pengebumian dan pengurusan jenazah bagi keempat-empat mangsa.

“Saya juga telah meminta Datuk Seri Shahaniza selaku Ketua Bahagian Maran, memandangkan Allahyarham merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, untuk melihat keperluan selanjutnya dan membawanya kepada pihak kerajaan negeri.

"Insya-ALLAH kerajaan negeri akan bantu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!