Pahang catat penyertaan tenaga buruh tertinggi Pantai Timur

Khairul Akhbar bersama penerima bantuan dan peserta yang hadir pada Karnival MYFutureJobs Indera Mahkota di Sultan Ahmad Shah International Convention Centre (SASICC) di sini pada Ahad. Foto Sinar Harian.
Khairul Akhbar bersama penerima bantuan dan peserta yang hadir pada Karnival MYFutureJobs Indera Mahkota di Sultan Ahmad Shah International Convention Centre (SASICC) di sini pada Ahad. Foto Sinar Harian.
A
A
A

KUANTAN – Pahang mencatatkan kadar penyertaan tenaga buruh sebanyak 65.3 peratus, tertinggi di Pantai Timur dengan kadar pengangguran kekal rendah pada 1.9 peratus bagi suku pertama 2026.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Akhbar Firdaus Khan berkata, pencapaian itu menunjukkan perkembangan positif pasaran buruh negeri selain peningkatan penyertaan rakyat dalam aktiviti ekonomi.

Bagaimanapun, katanya, cabaran pasaran pekerjaan kini bukan lagi sekadar menyediakan peluang kerja, sebaliknya memastikan tenaga kerja memiliki kemahiran yang memenuhi keperluan industri.

"Untuk kita laksanakan program MYFutureJobs, matlamat program ini dengan jelas memberikan satu pulangan yang baik kepada anak-anak kita untuk memastikan mereka mendapat peluang pekerjaan dengan kaedah terbaik, dengan kaedah yang telah diiktiraf oleh kerajaan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Akhbar Firdaus Khan
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Akhbar Firdaus Khan

"Yang paling penting sekali juga, kita mahu pastikan MYFutureJobs ini bukan setakat memberikan peluang pekerjaan, tetapi juga kita memberikan latihan-latihan yang bersesuaian dengan permintaan industri," katanya.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita selepas melancarkan Karnival MYFutureJobs Indera Mahkota di Sultan Ahmad Shah International Convention Centre (SASICC) di sini pada Ahad.

Karnival berkenaan dianjurkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi agensinya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Artikel Berkaitan:

Dalam program sama, Khairul Akhbar turut menyempurnakan pelancaran Sahabat MADANI bersama Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi iaitu inisiatif kerajaan untuk belia Malaysia selari dengan nilai Malaysia MADANI.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pahang, Sim Chon Siang; Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria; Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KESUMA, Sutekno Ahmad Belon serta Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Sri Subahan Kamal.

Khairul Akhbar (empat dari kiri) dan Ahmad Farhan (tiga dari kanan) melancarkan Karnival MYFutureJobs Indera Mahkota di Sultan Ahmad Shah International Convention Centre (SASICC) di sini pada Ahad. Foto Sinar Harian.
Khairul Akhbar (empat dari kiri) dan Ahmad Farhan (tiga dari kanan) melancarkan Karnival MYFutureJobs Indera Mahkota di Sultan Ahmad Shah International Convention Centre (SASICC) di sini pada Ahad. Foto Sinar Harian.

Menerusi program itu, Khairul Akhbar memberitahu sebanyak 6,000 peluang pekerjaan disediakan sebagai usaha membantu pencari kerja mendapatkan peluang pekerjaan bersesuaian.

Menurutnya, MYFutureJobs turut disokong dengan penyediaan latihan peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) yang disesuaikan dengan keperluan industri.

"Tidak ada banyak negara-negara di luar sana yang menyediakan peluang sebegini.

"Ini adalah salah satu tindakan lapangan ataupun gerakan lapangan untuk kita pastikan tidak ada pengangguran yang begitu ketara berlaku di negara kita, khususnya di negeri Pahang," katanya.

Beliau berkata, latihan yang disediakan perlu benar-benar memahami keperluan industri supaya memberi manfaat kepada tenaga kerja.

"Tanpa memahami keperluan industri-industri, latihan itu hanyalah sebagai satu latihan yang syok sendiri," katanya.

Sementara itu, Ahmad Farhan berkata, Sahabat MADANI merupakan inisiatif bagi memperkukuh semangat kebersamaan, kesukarelawanan dan keprihatinan sosial dalam kalangan rakyat khususnya golongan belia.

Menurutnya, gerakan komuniti itu bertujuan menyampaikan aspirasi kerajaan MADANI selain mengenal pasti keperluan masyarakat di peringkat akar umbi.

"Dalam masa sama, kita mahu membudayakan semangat saling membantu, menyantuni mereka yang memerlukan, meningkatkan taraf hidup masyarakat serta memperkukuhkan perpaduan tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang," katanya.

Beliau berkata, sasaran penyertaan 2,000 orang Sahabat MADANI Negeri Pahang berjaya dicapai, namun usaha menarik lebih ramai anak muda untuk menyertai gerakan berkenaan akan diteruskan.

Katanya, Sahabat MADANI di seluruh negeri perlu bergerak aktif menerusi pelbagai program kemasyarakatan seperti gotong-royong, ziarah kebajikan, bantuan pendidikan, bantuan bencana dan aktiviti belia.

"Jadilah mata dan telinga kerajaan MADANI di lapangan dan peringkat akar umbi di kawasan masing-masing.

"Dengar terus dan selami denyut nadi rakyat di bawah. Kenal pasti permasalahan yang dihadapi masyarakat dan salurkan kepada pihak-pihak berkaitan supaya tindakan dapat diambil dengan segera," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!