92 peratus penduduk Bukit Malut miliki MyKad, bukan penempatan Rohingya

LANGKAWI – Lebih 92 peratus daripada kira-kira 5,000 penduduk di Bukit Malut di sini memiliki MyKad sekali gus menepis persepsi bahawa kawasan itu merupakan penempatan etnik Rohingya.
Pensyarah Pusat Pengajian Kerajaan, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Na'eim Ajis berkata, hasil bancian yang dijalankan pihak berkuasa mendapati majoriti penduduk di kawasan itu merupakan masyarakat Melayu Islam Kedah (MIK).
Menurutnya, masyarakat berkenaan telah berada di Langkawi sejak lebih empat dekad lalu dan kini melahirkan generasi sehingga keempat yang telah berasimilasi dengan masyarakat setempat.
"Apa yang mahu dijelaskan ialah mereka ini asalnya penduduk Tanah Melayu dan Bukit Malut bukan penempatan atau lokasi pendaratan etnik Rohingya seperti yang sering diperkatakan.
"Fakta bancian oleh pihak berkuasa mendapati lebih 92 peratus daripada 5,000 penduduk Bukit Malut memiliki MyKad, bermakna mereka adalah warganegara Malaysia, malah ada yang menjadi pengundi," katanya ketika ditemui di Bukit Malut di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian mengulas Bukit Malut sering dikaitkan dengan persepsi negatif termasuk dakwaan penempatan etnik Rohingya berjumlah 15,000 orang sehingga membimbangkan penduduk asal Langkawi.
Jelas Mohd Na'eim, sebahagian daripada generasi kedua dan ketiga masyarakat MIK kini turut berkhidmat dalam sektor awam termasuk sebagai guru, anggota polis dan tentera.
Menurutnya, berdasarkan rekod rasmi, masyarakat MIK mula tiba di Langkawi sekitar 1980 melalui laluan laut serta pintu sempadan Bukit Kayu Hitam dan Sungai Golok sebelum jumlah mereka terus berkembang sehingga 2010.
“Masyarakat ini mempunyai kaitan sejarah dengan kerajaan Kedah Tua yang wilayah pemerintahannya suatu ketika dahulu meliputi kawasan Tanah Sari yang kini berada di selatan Myanmar dan turut dikenali sebagai masyarakat Melayu Burma.
“Ketika Perang Dunia Kedua pula, kira-kira 70,000 rakyat Tanah Melayu dibawa ke Burma bagi membina landasan kereta api maut dan sebahagian daripada mereka berjaya melarikan diri daripada tentera Jepun sebelum kembali ke negara ini,” ujarnya.
Tambah beliau, pelbagai naratif tidak tepat terus disebarkan mengenai Bukit Malut termasuk dakwaan kawasan itu menjadi penempatan etnik Rohingya dan lokasi berlakunya kegiatan jenayah serta penyalahgunaan dadah, namun rekod kes jenayah adalah terkawal sepanjang tempoh lima tahun lalu.
Menurutnya, kerajaan seharusnya memberi tumpuan kepada usaha mengasimilasikan masyarakat MIK dengan komuniti Melayu tempatan kerana mereka berkongsi agama, budaya dan bahasa yang sama.
Selain itu katanya, lebih banyak program melibatkan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan serta institusi pengajian tinggi perlu dianjurkan di Bukit Malut bagi membantu pembangunan modal insan dan pendidikan anak-anak penduduk.
"Persepsi masyarakat luar terhadap Bukit Malut perlu diperbetulkan kerana kawasan ini sebenarnya selamat untuk dikunjungi.
"Penduduk di sini rajin bekerja dan mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang perikanan yang sepatutnya dimanfaatkan kerajaan," katanya.
Beliau menegaskan, tidak adil untuk masyarakat MIK terus dilabel berdasarkan persepsi semata-mata memandangkan asal usul nenek moyang mereka mempunyai kaitan dengan Tanah Melayu khususnya Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.
"Mereka sudah berada di Langkawi lebih 40 tahun. Persoalannya, adakah mereka benar-benar menjadi ancaman atau naratif itu sengaja dicipta oleh pihak tertentu.
"Bagi saya, rakyat Malaysia tidak sepatutnya terus mencipta persepsi negatif terhadap masyarakat MIK tanpa memahami latar belakang sebenar mereka," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

