IPT perlu beri perhatian serius kesihatan mental pelajar

Muhammad Amir Asyraf
Muhammad Amir Asyraf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini digesa memberi perhatian serius terhadap aspek kesihatan mental pelajar terutama bagi mereka yang masih terkandas di kampus.

Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri, pihaknya mengambil maklum tentang kebimbangan pelajar terhadap kesihatan mental mereka ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dijalankan.

Menurutnya, setiap IPT boleh menggunakan khidmat kaunseling yang ada kepada pelajar dengan pusat panggilan atau talian perkhidmatan kaunseling juga boleh diwujudkan untuk memudahkan pelajar mendapatkan khidmat kaunseling secara dalam talian.

"Dengan PKP masih tidak dapat dipastikan pengakhirannya, ada sebilangan pelajar mula menunjukkan tanda-tanda tekanan, risau dan kemurungan.

"Perkara ini mungkin terjadi kepada pelajar yang masih terkandas di kampus mahupun berada di rumah," katanya.

Muhammad Amir berkata, MPPK juga menyarankan semua IPT mengambil Inisiatif dengan menganjurkan program-program yang menarik serta bermanfaat secara dalam talian kepada pelajar yang masih berada di kampus.

Menurutnya, inisiatif itu penting supaya mereka dapat mengisi masa lapang selain mengikuti pembelajaran dalam talian yang telah dilaksanakan.

"MPPK ingin menzahirkan ucapan tahniah dan jutaan terima kasih kepada setiap IPT yang telah menyediakan khidmat kaunseling bagi memastikan kesihatan mental pelajar terjaga.

Artikel Berkaitan:

"MPPK juga berharap semua pihak boleh berganding bahu bagi memastikan tiada lagi pelajar yang akan mengalami masalah kesihatan mental," katanya.

Pada 13 April lalu, kerajaan memutuskan semua pelajar IPT awam dan swasta yang masih berada di kampus tidak dibenarkan pulang ke rumah atau kampung masing-masing.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun menjelaskan, kebajikan serta makan dan minum mereka akan tetap dijaga serta ditanggung kerajaan sepenuhnya.

Keputusan itu dibuat kerajaan susulan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu mengumumkan tempoh PKP dilanjutkan bagi fasa ketiga untuk dua minggu lagi bermula hari ini hingga 28 April.