Dua pusat kuasa cabaran pentadbiran baharu Negeri Sembilan

Mujibu
Mujibu
A
A
A

PUTRAJAYA – Kewujudan dua pusat kuasa antara kepimpinan parti dan pentadbiran kerajaan negeri berpotensi mewujudkan persaingan pengaruh dalam pentadbiran baharu Negeri Sembilan sekiranya tidak diurus dengan baik.

Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, situasi itu boleh berlaku apabila kepimpinan parti dan kepimpinan kerajaan dipimpin oleh individu berbeza, sekali gus memerlukan kerjasama erat bagi memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar.

Menurutnya, walaupun keadaan itu mempunyai potensi menimbulkan suasana kurang harmoni, ia tidak semestinya membawa kepada krisis politik.

"Dalam politik, legitimasi pilihan raya dan legitimasi parti ialah dua perkara yang berbeza. Datuk Seri Jalaluddin Alias merupakan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan yang mengetuai parti menghadapi pilihan raya, manakala Datuk Ismail Lasim memperoleh legitimasi melalui pelantikan oleh Yang di-Pertuan Besar berdasarkan keyakinan bahawa beliau mendapat sokongan majoriti ADUN.

"Cabaran sebenar bukan soal siapa menjadi Menteri Besar, tetapi sejauh mana kepimpinan parti dan kepimpinan kerajaan dapat bergerak seiring.

"Jika wujud dua pusat kuasa, satu menguasai parti dan satu lagi menguasai pentadbiran negeri, ia berpotensi mewujudkan persaingan pengaruh dalam pelantikan Exco, pelaksanaan dasar dan pengurusan parti di peringkat akar umbi," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika mengulas situasi di Negeri Sembilan selepas Jalaluddin yang sebelum ini disebut-sebut sebagai antara calon Menteri Besar tidak dilantik ke jawatan berkenaan, selain mengambil pendirian tidak menawarkan diri sebagai Exco.

Mengulas lanjut, Mujibu berkata, keadaan itu bagaimanapun masih boleh diurus dengan baik sekiranya kedua-dua pemimpin meletakkan kepentingan kerajaan mengatasi kepentingan peribadi.

"Jika kedua-dua tokoh berjaya memisahkan kepentingan peribadi daripada kepentingan kerajaan, situasi ini masih boleh diurus dengan baik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Felo Penyelidik Ilham Centre itu turut menyifatkan tempoh 100 hari pertama pentadbiran kerajaan negeri yang baharu sebagai penentu sama ada polemik berhubung pelantikan Menteri Besar akan berakhir atau berkembang menjadi cabaran politik lebih besar.

Katanya, tindakan Jalaluddin tidak menghadiri majlis angkat sumpah Menteri Besar dan tidak menawarkan diri sebagai Exco sememangnya membuka ruang kepada pelbagai tafsiran politik, meskipun beliau menjelaskan ketidakhadiran itu berpunca daripada notis singkat.

"Pada saya apa yang lebih penting sekarang ialah bagaimana Ismail membentuk barisan Exco dan mengurus hubungan dengan kepimpinan parti.

"Jika proses itu dilakukan secara inklusif dan mengambil kira keseimbangan antara kem parti, isu ini berkemungkinan reda.

"Sebaliknya jika selepas ini timbul rasa tersisih dalam kalangan pemimpin tertentu atau berlaku pertikaian mengenai pelantikan dan dasar kerajaan, episod ini mungkin dilihat sebagai isyarat awal kepada kewujudan fraksi dalaman," katanya.

Mujibu berkata, rakyat pada akhirnya lebih menilai keupayaan kerajaan mentadbir berbanding percaturan dalaman parti.

"Ujian pertama Ismail bukan sekadar membentuk kerajaan, tetapi menyatukan kepimpinan politik di belakang sebuah pentadbiran yang stabil.

"Jika beliau berjaya melakukan itu, polemik pelantikan ini akan menjadi isu sementara. Jika gagal, ia berpotensi menjadi liabiliti politik sepanjang penggal pentadbiran," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!