Polis kenal pasti staf lapangan terbang dikaitkan kes juruterbang ditahan di Jakarta

Hussein berkata, setakat ini seorang individu dikenal pasti dan akan dipanggil bagi membantu siasatan.
Hussein berkata, setakat ini seorang individu dikenal pasti dan akan dipanggil bagi membantu siasatan.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis telah mengenal pasti seorang individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penahanan seorang juruterbang bersama rampasan beberapa jenis dadah sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, Indonesia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, individu terbabit dipercayai merupakan kakitangan yang bertugas ketika proses saringan keselamatan dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum juruterbang berkenaan berlepas ke Indonesia.

"Individu terbabit akan dipanggil bagi membantu siasatan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Selangor di sini pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan seorang juruterbang warga tempatan ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki membawa beberapa jenis dadah sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.

Susulan penahanan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan bagi mengenal pasti bagaimana dadah berkenaan boleh dibawa keluar dari negara selain meneliti kemungkinan wujud pembabitan individu lain.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, siasatan kini memfokuskan beberapa aspek termasuk bagaimana suspek melepasi saringan keselamatan di pintu keluar negara serta kemungkinan wujud kaitan dengan sindiket dadah antarabangsa.

"Kita juga sedang bekerjasama dengan Polis Republik Indonesia (Polri) dan Badan Narkotika Nasional (BNN) bagi melihat keseluruhan rangkaian sindiket ini sebelum tindakan susulan diambil untuk membanteras kegiatan mereka.

"Siasatan masih berjalan dan kita sedang meneliti keseluruhan spektrum kes ini," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan prosedur di KLIA, setiap penumpang akan melalui beberapa peringkat saringan keselamatan.

Artikel Berkaitan:

"Jika saringan peringkat pertama yang dijalankan menggunakan sistem pengimbas tidak mengesan sebarang unsur mencurigakan, penumpang tidak akan melalui pemeriksaan di peringkat seterusnya.

"Dalam kes ini, juruterbang berkenaan telah melepasi semua saringan keselamatan termasuk saringan peringkat pertama tanpa sebarang petunjuk yang mencurigakan sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!