Tempatkan unit K9 terlatih di lapangan terbang - Juruterbang

SHAH ALAM - Juruterbang, Mohd Ezairol Rezan Zainol mencadangkan pihak berkaitan menambah baik sistem saringan sedia ada termasuk mempertimbangkan penempatan anggota keselamatan bersama Unit Anjing Pengesan (K9) bagi memperkukuh kawalan keselamatan di lapangan terbang.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi mengurangkan risiko objek atau bahan yang mencurigakan melepasi pemeriksaan dan menjadikan setiap penerbangan lebih selamat di masa hadapan.
Menurutnya, sistem saringan bagasi diwujudkan bagi memastikan keselamatan penerbangan dengan mengesan bahan letupan, senjata atau barangan berbahaya.
"Selain itu, ia membantu mencegah penyeludupan dadah, barangan kontraband dan mata wang yang menyalahi undang-undang.
"Pemeriksaan itu juga memainkan peranan dalam aspek kesihatan dan biosekuriti, termasuk mengesan tumbuhan, haiwan atau produk makanan yang dilarang dibawa masuk ke sesebuah negara," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Pada Jumaat, media melaporkan seorang juruterbang Malaysia Airlines berusia 39 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas didakwa menyeludup 25 kilogram dadah.
Menurut bekas Jurulatih Penerbangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, berdasarkan rakaman video yang tular, timbul persoalan mengenai bagaimana sebuah bagasi yang telah didaftarkan masuk boleh melepasi sistem saringan keselamatan.
"Memang tak dapat kesan sebab ikut video terkini, dia dah check in beg tersebut kat kaunter di luar. Isunya sekarang bagaimana beg bagasi yang di daftar masuk di luar semasa mendaftar di kaunter boleh melepasi sistem saringan.
"Biasanya, semua bagasi yang didaftar masuk akan diimbas oleh pihak keselamatan lapangan terbang sebelum dimasukkan ke dalam kargo pesawat," katanya lagi.
Jelas Mohd Ezairol, setiap bagasi yang didaftarkan akan melalui proses pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas sinar-X di bahagian belakang kaunter daftar masuk sebelum dimuatkan ke dalam ruang kargo pesawat.
"Bagasi juga akan diperiksa secara fizikal yang mana beg akan dibuka secara manual sekiranya imbasan Sinar-X menunjukkan objek yang mencurigakan.
"Selain itu, penggunaan anjing pengesan yang mana haiwan terlatih kadangkala digunakan untuk menghidu dadah, produk pertanian, atau bahan letupan," katanya.
Pada masa sama, beliau turut mengemaskini kejayaan polis merampas pelbagai jenis dadah seberat 1.35 tan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
