[VIDEO] Sanusi hantar tiga lagi LOD, Kor Ming antara penerima
ALOR SETAR – Tiga lagi individu termasuk Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming menerima surat tuntutan atau Letter of Demand (LOD) daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor susulan dakwaan memutar belit kenyataannya berkaitan isu sejarah yang tular baru-baru ini.

Muhammad Sanusi berkata, selain Kor Ming, dua lagi individu terbabit ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Skudai, Marina Ibrahim dan individu dikenali sebagai Salim Abd Rahman.
Menurutnya, LOD kepada Dr Sathia Prakash Nadarajan telah pun diserahkan dan diterima, manakala tiga lagi sedang dalam proses penyerahan oleh pasukan peguamnya.
"Saya hantar LOD kepada Dr Sathia, saya ada maklum di Facebook saya. Saya juga hantar LOD kepada Nga Kor Ming yang akan diserah hari ini, (termasuk) Marina Ibrahim dan Salim Abd Rahman.
"LOD ini akan diuruskan oleh peguam. Kalau tidak sempat diserah hari ini, akan diserah esok," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini pada Selasa.
Pada 28 Julai lalu, Sinar Harian melaporkan pasukan peguam Muhammad Sanusi sedang menjalankan proses penyerahan LOD terhadap pihak yang didakwa memutar belit kenyataannya berhubung isu sejarah ketika menyampaikan ucapan di Negeri Sembilan.
Tindakan itu diambil terhadap individu yang didakwa mengulas kenyataannya di luar konteks sebenar, dengan Dr Sathia menjadi antara individu terawal menerima LOD.
Beliau berkata, setiap LOD yang dihantar adalah berbeza bergantung kepada kenyataan yang dibuat oleh individu terbabit.
Menurutnya, tindakan itu diambil terhadap mereka yang didakwa menokok tambah, memutar belit serta memesongkan fakta sehingga memberi gambaran tidak tepat terhadap kenyataannya.
"Setiap LOD ini berbeza berdasarkan kenyataan mereka yang menokok tambah. Kebanyakannya menuduh saya mengeluarkan perkataan 'balik'.
"Mereka yang menerima LOD diberi tempoh tujuh hari untuk memohon maaf dan berhubung dengan peguam saya. Jika tidak, kita akan teruskan ke peringkat perbicaraan," katanya.
Muhammad Sanusi turut memaklumkan masih terdapat ramai lagi individu dalam senarai untuk menerima LOD sekiranya didapati melakukan perkara sama.
Sementara itu, mengulas mengenai rakaman percakapannya kepada polis berkaitan ceramah berkenaan, Muhammad Sanusi menjelaskan sudahpun memberi keterangan di sini pada Ahad.
"Polis tahu saya sibuk. Mereka datang ambil keterangan di Alor Setar dan saya tiada masalah beri kerjasama.
Saya jawab semua soalan berdasarkan fakta semasa. Dalam kenyataan polis, apa yang ada, ada. Apa yang tiada, tiada lah. Tak boleh tokok tambah.
"Tidak sempat habis secawan teh dan cucur cempedak sepiring, selesai dah. Terima kasih kepada PDRM Negeri Sembilan dan Kedah," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

