Sanusi mula hantar LOD, lebih ramai bakal disaman

Tangkap layar media sosial Muhammad Sanusi pada Selasa.
Tangkap layar media sosial Muhammad Sanusi pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR – Pasukan peguam Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sedang menjalankan proses penyerahan surat tuntutan atau Letter of Demand (LOD) terhadap pihak yang didakwa memutar belit kenyataannya berkaitan isu sejarah dalam ucapan yang disampaikan di Negeri Sembilan baru-baru ini.

Menurut Muhammad Sanusi, lebih ramai individu berada dalam senarai untuk menerima LOD sekiranya didapati melakukan tindakan sama, termasuk memutar belit, menokok tambah dan mengulas kenyataannya di luar konteks sebenar.

"Penyerahan LOD ini sedang diuruskan oleh pasukan peguam.

"Ada ramai lagi dalam senarai untuk menerima LOD seumpama ini dengan tuntutan yang sesuai mengikut tindakan mereka.

"Mereka memutar belit, menokok tambah, mengada-adakan perkara yang tiada, memberi komen berasaskan sumber yang telah diputar belit tanpa diperiksa, selain memesong dan memanipulasi ucapan saya di luar maksud sebenar.

"Semoga ia menjadi pengajaran kepada semua," katanya yang dipetik di media sosialnya pada Selasa.

Pada Sabtu lalu, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang termasuk memfailkan saman terhadap mana-mana pihak yang didakwa memanipulasi kenyataannya berkaitan sejarah demi kepentingan politik.

Beliau turut memaklumkan laporan polis akan dibuat terhadap pihak yang didakwa memutar belit kenyataan berkenaan, sambil menegaskan ucapan yang disampaikan hanyalah berdasarkan fakta sejarah dan tidak ditujukan kepada mana-mana kaum atau pihak tertentu.

Difahamkan, antara individu terawal menerima LOD ialah Pengarah Pilihan Raya PKR Negeri Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, antara individu terawal menerima LOD ialah Pengarah Pilihan Raya PKR Negeri Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan.
Difahamkan, antara individu terawal menerima LOD ialah Pengarah Pilihan Raya PKR Negeri Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan.

Menerusi surat tuntutan yang dikeluarkan firma guaman Faizi & Associates bertarikh 27 Julai, Muhammad Sanusi mendakwa Dr Sathia telah memfitnah beliau menerusi kenyataan media dan video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya berhubung ucapan yang disampaikan di Negeri Sembilan baru-baru ini.

Surat itu mendakwa Dr Sathia secara tidak tepat mengaitkan Muhammad Sanusi dengan kenyataan berbunyi 'India baliklah India' dan 'Cina baliklah China', sedangkan frasa tersebut didakwa tidak pernah diucapkan oleh Menteri Besar Kedah itu.

Sebaliknya, surat berkenaan menyatakan ucapan sebenar Muhammad Sanusi hanya menjelaskan bahawa orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu sebagai tanah air mereka, manakala bangsa lain mempunyai negara asal masing-masing.

Peguam beliau turut mendakwa tindakan memetik sebahagian ucapan, menambah perkataan tertentu serta menyunting rakaman video telah menjejaskan reputasi anak guam mereka dan dilakukan dengan niat jahat.

Sehubungan itu, Dr Sathia dituntut dalam tempoh tujuh hari untuk menarik balik video TikTok berkenaan, mengemukakan permohonan maaf secara terbuka, selain mencadangkan jumlah ganti rugi kepada Muhammad Sanusi.

Surat berkenaan turut menyatakan tindakan undang-undang akan dimulakan tanpa sebarang notis lanjut sekiranya tuntutan tersebut gagal dipenuhi.

Sebelum itu, Dr Sathia dilaporkan mengakui terdapat kekhilafan apabila mengulangi ucapan Muhammad Sanusi dengan menggunakan perkataan 'balik'.

Bagaimanapun, beliau menegaskan perkara itu tidak menjejaskan asas laporan polis yang dibuat terhadap Menteri Besar Kedah berhubung ucapan yang didakwa berpotensi membangkitkan sentimen perkauman.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden juga turut mendakwa Dr Sathia memanipulasi ucapan Muhammad Sanusi dan menuntut beliau menarik balik kenyataan serta memohon maaf secara terbuka.

Susulan kontroversi itu, beberapa laporan polis turut dibuat terhadap Dr Sathia bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!