Geng Andi aktif curi rim tumpas

KOTA KINABALU - Kumpulan dikenali sebagai Geng Andi yang aktif mencuri rim kereta di sekitar daerah ini berjaya ditumpaskan polis menerusi beberapa siri serbuan di Putatan dan Penampang.
Serbuan itu membawa kepada penahanan empat lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an, selain merampas 21 unit rim pelbagai jenis kenderaan, sebuah Perodua Myvi serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah kampung tepi jalan di Kampung Meruntum, Putatan pada 30 Julai lalu sebelum polis meneruskan serbuan kedua di Kampung Ketiau.
"Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Kinabalu telah berjaya melumpuhkan satu kumpulan yang diberi gelaran Geng Andi. Kumpulan ini melakukan kegiatan jenayah khusus mencuri rim kereta sahaja di sekitar Kota Kinabalu.
"Serbuan pertama melibatkan laporan Putatan dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan serta merampas sebuah kenderaan Perodua Myvi yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah tersebut.
"Serbuan kedua pula di Taman Sri Keramat, Kampung Ketiau dan berjaya menahan dua lagi suspek serta merampas peralatan-peralatan yang digunakan dalam melakukan kegiatan mencuri rim kenderaan," katanya dalam sidang akhbar di IPD Kota Kinabalu, di sini, pada Selasa.
Menurutnya, hasil tangkapan itu membawa kepada serbuan seterusnya di Penampang yang menyaksikan seorang lagi lelaki ditahan kerana dipercayai berperanan sebagai pembeli barangan curi.
"Hasil daripada empat serbuan ini kita telah berjaya merampas enam keping resit bayaran, 21 unit rim pelbagai jenis kenderaan, sebuah kenderaan dan peralatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan yang tersebut.
"Semua suspek ini telah direman untuk membantu siasatan selama empat hari dan dengan operasi ini, pihak polis telah berjaya melumpuhkan kumpulan Geng Andi ini yang aktif melakukan kegiatan mencuri rim kenderaan serta menyelesaikan 10 kes kehilangan rim yang dilaporkan di kawasan Kota Kinabalu, Luyang, Karamunsing, Manggatal dan Inanam," katanya.
Syed Lot berkata, hasil siasatan mendapati kumpulan terbabit menjual rim yang dicuri kepada kedai barangan lusuh dengan harga serendah RM50 hingga RM60, bergantung kepada rundingan.
"Kesemua empat lelaki yang kita tahan merupakan penduduk tempatan dan apabila disiasat, mereka mempunyai rekod jenayah dadah dan kesalahan lain. Individu pertama yang ditahan merupakan ketua kumpulan dikenali sebagai Andi.
"Mereka menjalankan kegiatan ini dengan bergerak menggunakan kenderaan Perodua Myvi dan mencari sasaran di kawasan lapang atau tempat kereta ditinggalkan tanpa penjagaan keselamatan.
"Rim kemudian dijual ke kedai-kedai barang lusuh dan harga tidak menentu mengikut rundingan iaitu serendah RM50-RM60 pun mereka terima.
"Jumlah nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM20,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan," katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, pihaknya juga turut berjaya menyelesaikan satu kes pecah rumah yang mensasarkan jam tangan mewah sebagai barangan yang dicuri.
"Kes adalah bersabit laporan Kota Kinabalu yang diterima pada 22 Mei lalu melibatkan sebuah rumah dipecah masuk melalui tingkap tandas. Tiga unit jam iaitu jenama Rolex dan Tissot yang dianggarkan bernilai RM30,000 dilaporkan hilang.
"Berdasarkan maklumat risikan pada 16 Julai lalu berjaya menahan tiga suspek di Tuaran dan hasil siastaan lanjut membawa kepada rampasan barang kes," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
