Curi maklumat kad kredit pelanggan, buat pembelian tidak sah kira-kira RM3.55 juta

Beberapa warga China mengesyaki maklumat kad kredit mereka telah dicuri di Bangkok, Thailand. - Agensi
Beberapa warga China mengesyaki maklumat kad kredit mereka telah dicuri di Bangkok, Thailand. - Agensi
A
A
A

CHIANG MAI– Polis Thailand menahan seorang lelaki warga China kerana disyaki mencuri maklumat kad kredit pelanggan dan menggunakannya untuk membuat pembelian secara tidak sah, menyebabkan kerugian kira-kira RM3.55 juta

Suspek ditahan dalam serbuan yang dijalankan oleh pegawai Bahagian Pencegahan Jenayah Ekonomi (Economic Crime Suppression Division, ECD) di tiga premis perniagaan di Chiang Mai dan Jalan Yaowarat, Bangkok, selepas menerima aduan daripada beberapa warga China yang mengesyaki maklumat kad kredit mereka telah dicuri.

Menurut polis, mangsa mendapati kad kredit mereka digunakan untuk transaksi di Amerika Syarikat walaupun mereka tidak pernah berkunjung ke negara itu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak mendedahkan jumlah sebenar mangsa yang terlibat.

Siasatan turut membawa polis ke sebuah premis di Chiang Mai yang menawarkan diskaun sehingga 32 peratus kepada pelanggan yang membuat pembayaran menggunakan kad kredit.

Tawaran itu menimbulkan kecurigaan kerana kebanyakan perniagaan kecil lazimnya mengehadkan penggunaan kad kredit berikutan caj pemprosesan yang dikenakan oleh bank.

Polis percaya promosi tersebut digunakan sebagai helah untuk menggalakkan pelanggan menggunakan kad kredit, sekali gus membolehkan maklumat pembayaran mereka disalin tanpa disedari.

Seorang pekerja warga Thailand memaklumkan kepada penyiasat bahawa beliau tidak mengetahui sebarang kegiatan jenayah yang berlaku.

Menurutnya, pemilik premis yang dikenali sebagai Chao mengarahkannya mengimbas kad kredit pelanggan sebanyak dua kali.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, imbasan pertama dilakukan menggunakan sebuah peranti yang disambungkan pada papan kekunci mesin juruwang, manakala imbasan kedua dibuat menggunakan terminal Electronic Data Capture (EDC) seperti biasa.

Pekerja itu mengakui menyedari maklumat kad pelanggan direkodkan, namun menyangka proses tersebut hanya bertujuan menyemak rekod transaksi terdahulu dan bukannya mengumpul data peribadi pelanggan.

Hasil siasatan lanjut, polis mengenal pasti peranti tambahan itu sebagai alat yang digunakan untuk mengekstrak maklumat kad kredit pelanggan sebelum menahan Chao.

Menurut polis, suspek mengaku berkongsi maklumat kad kredit yang dicuri dengan seorang rakannya di Amerika Syarikat.

Rakan tersebut dipercayai menggunakan data berkenaan untuk membeli barangan bernilai tinggi atau mengeluarkan wang tunai menggunakan kad kredit mangsa sebelum hasilnya dibahagikan bersama suspek.

Setakat ini, pihak berkuasa belum mengumumkan pertuduhan yang akan dikenakan terhadap suspek dan tiada pengesahan sama ada siasatan akan diperluaskan dengan kerjasama agensi penguat kuasa di Amerika Syarikat bagi mengesan individu yang didakwa menjadi rakan subahat dalam kes berkenaan.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!