'Penawar' letih buat kakitangan kesihatan

Saloni (dua,kiri) menyampaikan sumbangan al-Quran kepada Dr Shahrul Bariyah (dua,kanan) untuk kegunaan kakitangan JKN Kedah.
Saloni (dua,kiri) menyampaikan sumbangan al-Quran kepada Dr Shahrul Bariyah (dua,kanan) untuk kegunaan kakitangan JKN Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menyampaikan 1,500 naskhah al-Quran hasil sumbangan pelbagai pihak kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah,hari ini.

Kesemua al-Quran terbabit adalah sumbangan wakaf daripada orang ramai melalui Program Wakaf al-Quran Mu'jam yang merupakan hasil kerjasama WUIF dengan rakan sinergi iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), TV Al Hijrah, Majlis Dakwah Negara, Sinar Harian, Ideaktiv dan Rumah Ngaji.

Wakil Rumah Ngaji negeri Kedah, Saloni Mustaffa berkata, JKN Kedah menyambut baik hasrat mereka untuk mewujudkan Quran Time dan Quran Corner di semua pusat kesihatan daerah dan juga lokasi saringan koronavirus (Covid-19).

Katanya, al-Quran merupakan pendamping terbaik di saat kakitangan kesihatan memerlukan sokongan mental dan rohani untuk menyempurnakan tugasan mereka.

"Dalam keadaan tertekan dan keletihan apabila berada di Quran Corner, mereka dapat meluangkan sedikit masa bagi pengisian rohani.

"Ia sekaligus menyuntik kembali semangat dan motivasi untuk mereka berkhidmat kepada masyarakat apatah lagi tugasan mereka ini merupakan suatu jihad," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Dr Shahrul Bariyah Ahmad berkata, beliau mewakili JKN merakamkan penghargaan kepada WUIF atas sumbangan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Ustaz Ismudi membaca al-Quran yang diterima di Blok A, JKN Kedah di sini hari ini.
Ustaz Ismudi membaca al-Quran yang diterima di Blok A, JKN Kedah di sini hari ini.

Katanya, semua al-Quran berkenaan akan diagihkan kepada hospital -hospital dan klinik kesihatan di negeri ini untuk dimanfaatkan sebaiknya oleh kakitangan mereka.

"al-Quran ini akan ditempatkan di surau atau ruang bacaan untuk kita beri peluang kepada semua orang termasuk pesakit meluangkan masa dengan membaca kitab suci ini.

"Saya rasa program ini juga merupakan langkah yang baik untuk kita semua menjayakan #QuranTime,"katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam (kanan) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Ismudi Mohamad Sanusi berkata, HSB akan memanfaatkan sumbangan 300 naskhah al - Quran yang diterima dengan sebaik mungkin.

Menurutnya, sumbangan itu akan digunakan untuk mengimarahkan program spiritual HSB bersesuaian dengan konsep Hospital Mesra Ibadah yang dilaksanakan.

"Selain itu, semua al-Quran berkenaan juga akan diedarkan ke wad -wad untuk kita wujudkan sudut al-Quran. Dengan adanya sudut ini, ia bukan sahaja memudahkan petugas kesihatan, malah pesakit juga dapat meluangkan masa dengan membaca al-Quran di situ,"katanya.