[VIDEO] Sikap penghuni terus menjadi ‘musuh’ utama Flat Teluk Indah

A
A
A

BUTTERWORTH – Perubahan pengurusan sejak kira-kira tiga tahun lalu berjaya mengubah wajah Blok E1 dan E2 Flat Teluk Indah, Perai apabila keadaan kebersihan, penyelenggaraan serta pengurusan parkir dilihat jauh lebih baik berbanding sebelum ini.

Flat ini dikatakan separuh penduduknya terdiri daripada warga asing.
Flat ini dikatakan separuh penduduknya terdiri daripada warga asing.

Namun, usaha berkenaan masih belum mampu menghapuskan sepenuhnya imej kotor yang sekian lama membelenggu kedua-dua blok tersebut apabila sikap segelintir penghuni yang tidak bertanggungjawab terus menjadi punca utama masalah.

Ketika tinjauan Sinar Harian di lokasi, dua kejadian penghuni bertindak membuang sampah dari tingkat atas blok secara sesuka hati disaksikan, sekali gus menggambarkan budaya tidak bertanggungjawab itu masih berlaku walaupun pelbagai kemudahan dan pemantauan disediakan pihak pengurusan.

Lebih membimbangkan, perbuatan tersebut bukan sahaja mencemarkan persekitaran, malah mengundang risiko keselamatan kepada penghuni yang melalui kawasan di bawah blok.

Sampah dan patung permainan kanak-kanak ini dipercayai dibuang dari tingkat atas flat terbabit.
Sampah dan patung permainan kanak-kanak ini dipercayai dibuang dari tingkat atas flat terbabit.

Penduduk, Pesah Wahab, 58, berkata, keadaan Flat Teluk Indah kini jauh lebih baik berbanding beberapa tahun lalu selepas pengurusan baharu mengambil alih pentadbiran.

Artikel Berkaitan:

Menurut suri rumah yang menetap di tingkat 14 itu sejak 26 tahun lalu, pihak pengurusan kini memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau kawasan lif serta koridor untuk mengesan individu yang membuang sampah sesuka hati.

Katanya, pengurusan parkir juga lebih teratur termasuk membabitkan kenderaan penghuni dan warga asing.

“Saya puas hati dengan pengurusan sekarang. Kalau dibandingkan dengan dahulu, memang banyak perubahan.

“Cuma bagi saya, masalah kebersihan yang masih ada bukan salah pihak pengurusan tetapi sikap penduduk sendiri. Saya anggarkan sekitar 40 peratus kawasan masih belum bersih kerana ada penghuni yang tiada kesedaran sivik.

“Mereka malas turun membuang sampah di tempat yang disediakan, sebaliknya membuang terus dari atas blok tanpa memikirkan keselamatan orang lain,” katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Keadaan tangga yang tiada pemegang besi dipercayai dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab dan air yang bertakung di bawah blok menyebabkan berbau busuk.
Keadaan tangga yang tiada pemegang besi dipercayai dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab dan air yang bertakung di bawah blok menyebabkan berbau busuk.

Pesah berkata, dia sendiri pernah menjadi mangsa apabila terkena sampah yang dibuang dari tingkat atas sebaik pulang membeli barangan keperluan untuk mengerjakan umrah beberapa tahun lalu.

“Sampah itu terkena kepala saya. Habis pakaian dan badan berbau busuk. Syukur tidak terkena sampah atau sisa buangan yang keras. Jika tidak, pasti saya cedera.

“Anak saudara saya juga pernah mengalami perkara sama ketika pulang dari sekolah. Pakaiannya kotor dan berbau sehingga terpaksa pulang semula ke rumah untuk mandi serta menukar pakaian,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Lingesh, 40, berkata, walaupun kebersihan semakin baik, isu keselamatan pula semakin meresahkan penghuni.

Katanya, dia yang menetap di flat berkenaan sejak 32 tahun lalu mendakwa ramai warga asing dari Bangladesh, Myanmar dan etnik Rohingya menyewa rumah di kawasan tersebut.

Menurutnya, kebanyakan rumah disewakan oleh pemilik tempatan kerana golongan berkenaan sanggup membayar kadar sewa yang tinggi sehingga mencecah RM1,200 sebulan bagi sebuah unit tiga bilik.

“Dulu ramai penduduk tempatan tinggal di sini tetapi sekarang semakin ramai warga asing menyewa. Pemilik rumah lebih suka menyewakan kepada mereka kerana tidak cerewet soal kadar sewa.

“Selain isu kebersihan, kami juga berdepan masalah jenayah seperti pecah rumah dan samun yang kerap berlaku sehingga menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan penduduk,” katanya.

Beliau berharap pihak berkuasa mempertingkatkan rondaan keselamatan bagi menjamin kesejahteraan penghuni.

Keadaan di bawah blok E1 dan E2 Flat Teluk Indah, Perai yang masih tidak bersih sepenuhnya selain berbau busuk.
Keadaan di bawah blok E1 dan E2 Flat Teluk Indah, Perai yang masih tidak bersih sepenuhnya selain berbau busuk.

Dalam pada itu, bekas pekerja kilang, P Premarani, 66, berkata, keadaan lif kini jauh lebih baik selepas pengurusan baharu mengambil alih.

Menurut penghuni tingkat 17 itu, setiap blok mempunyai dua buah lif, walaupun kadangkala sebuah daripadanya mengalami kerosakan, pihak pengurusan mengambil tindakan pembaikan dengan lebih pantas berbanding sebelum ini.

“Dulu kalau rosak, berbulan-bulan baru dibaiki. Saya tinggal di tingkat 17, jadi memang susah. Kadang-kadang saya terpaksa menumpang di rumah anak atau saudara kerana tidak mampu turun naik tangga.

“Sekarang memang ada perubahan dan saya bersyukur kerana pihak pengurusan lebih cepat bertindak,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, masalah kecurian kemudahan awam masih berlaku apabila wayar elektrik di koridor serta besi pemegang tangan di tangga dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

“Sudah lama pemegang tangan di tangga hilang. Saya sudah berusia dan agak sukar turun naik tangga tanpa besi pemegang.

“Keadaan ini sangat berbahaya terutama kepada warga emas. Saya harap tindakan segera diambil untuk memasangnya semula,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penghuni, Mohd Azmi Mokti, 48, berkata, tindakan penguatkuasaan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) perlu dipertingkatkan kerana operasi yang dijalankan ketika ini dilihat hanya tertumpu di kawasan bawah blok.

Penghuni tingkat sembilan yang menetap di situ sejak lapan tahun lalu berkata, penduduk turut berdepan masalah kebocoran paip air di koridor kediaman sejak lima bulan lalu.

“Sudah banyak kali penduduk membuat aduan tetapi sehingga sekarang belum ada tindakan. Air melimpah ke koridor dan mengalir laju ke kawasan bawah blok sehingga menyebabkan air bertakung.

“Keadaan ini bukan sahaja mengganggu penduduk, malah boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk jika dibiarkan berterusan,” katanya.

Walaupun pelbagai penambahbaikan telah dilakukan pihak pengurusan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penduduk berharap isu kebersihan, keselamatan, penyelenggaraan dan penguatkuasaan dapat diperkasakan supaya Flat Teluk Indah benar-benar bebas daripada imej negatif yang sekian lama menghantui kawasan perumahan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!