Rampasan dadah di KLIA meningkat hampir 6 kali ganda tahun ini

Hussein ketika sidang media mengenai kejayaan anggota polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang bernilai RM42 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Selasa. Foto Bernama
Hussein ketika sidang media mengenai kejayaan anggota polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang bernilai RM42 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah dadah yang dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sepanjang Januari hingga Julai tahun ini meningkat hampir enam kali ganda kepada 1.3 tan berbanding hanya 235 kilogram (kg) bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, peningkatan itu turut disertai lonjakan nilai rampasan kepada kira-kira RM108 juta berbanding RM18.4 juta pada tempoh sama tahun 2025.

Menurutnya, bagi tempoh sama tahun ini, sebanyak 108 kes direkodkan di KLIA berbanding 54 kes tahun lalu, manakala jumlah tangkapan meningkat kepada 121 individu berbanding 57 individu.

"Seramai 42 warga asing turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah melalui KLIA.

"Peningkatan ini menunjukkan tindakan penguatkuasaan yang lebih agresif hasil kerjasama strategik antara PDRM dengan pelbagai agensi di KLIA termasuk Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Polis Bantuan dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS)," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Selasa.

Hussein berkata, dalam Ops Khas KLIA Bilangan 1/2026, JSJN berjaya mengesan sembilan kes dengan penahanan 13 individu berusia antara 18 hingga 53 tahun yang disyaki berperanan sebagai keldai dadah.

Katanya, mereka terdiri daripada tiga lelaki tempatan, dua wanita tempatan, enam lelaki warga asing dan dua wanita warga asing.

"Rampasan membabitkan 260kg bunga ganja dan satu kilogram kokain bernilai RM21.26 juta yang dianggarkan mampu menjejaskan kira-kira 525,000 penagih.

"Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menegaskan PDRM tidak akan memberi ruang kepada mana-mana sindiket menjadikan KLIA atau pintu masuk negara sebagai laluan penyeludupan dadah.

"Kerjasama dengan semua agensi penguat kuasa sempadan akan terus diperkukuhkan bagi mengesan, memburu dan melumpuhkan sindiket sehingga ke akar umbi," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!