Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung terbakar lagi

Kebakaran berlaku pada malam Isnin. Foto JBPM
Kebakaran berlaku pada malam Isnin. Foto JBPM
A
A
A

NIBONG TEBAL – Kebakaran membabitkan timbunan sampah di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Pulau Burung di sini berjaya dikawal oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dalam operasi yang berakhir awal pagi Selasa.

Pusat Gerakan Operasi JBPM Pulau Pinang menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.14 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal digerakkan ke lokasi bersama bantuan daripada BBP Batu Kawan dan BBP Bayan Baru.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 8.27 malam dan mendapati kebakaran melibatkan kawasan timbunan sampah dianggarkan seluas 120 x 90 kaki persegi.

Menurutnya, operasi pemadaman dibahagikan kepada dua sektor bagi mempercepatkan usaha mengawal kebakaran selain membina ‘fire break’ untuk menghalang api daripada merebak ke kawasan lain.

“Api di kedua-dua sektor berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 12 tengah malam sebelum kerja-kerja ‘overhaul’ diteruskan bagi memastikan tiada lagi punca kebakaran yang boleh mencetuskan api semula.

“Operasi turut mendapat bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran serta dua unit jengkaut milik Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bagi memunggar sisa pepejal untuk memudahkan pemadaman secara ‘direct attack’,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran di lokasi kebakaran. Foto JBPM
Bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran di lokasi kebakaran. Foto JBPM

Beliau berkata, seramai 12 anggota termasuk penyelia terlibat dalam operasi tersebut dengan kekuatan sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS), sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Water Tanker (WT).

Artikel Berkaitan:

Katanya, antara PBS yang terlibat ialah PBS Nibong Tebal, Valdor, Parit Buntar, Machang Bubok, Sungai Jawi dan Kuala Kurau.

“Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.30 pagi selepas pihak bomba memastikan kawasan berada dalam keadaan selamat,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!