RXZ Members 8.0: MBKT tanggung kos RM40,000, kutip 130 tan sampah

Antara sampah dan sisa makanan yang ditinggalkan di sekitar jambatan angkat, Kuala Terengganu.
Antara sampah dan sisa makanan yang ditinggalkan di sekitar jambatan angkat, Kuala Terengganu.
A
A
A

​KUALA TERENGGANU - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) terpaksa menanggung kos operasi pembersihan tambahan dianggarkan mencecah RM40,000 berikutan pertambahan kira-kira 130 tan sisa pepejal sepanjang penganjuran program RXZ Members 8.0 di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus.

​Datuk Bandar Kuala Terengganu, Lizan Che Mat berkata, perbelanjaan berkenaan melibatkan bayaran kerja lebih masa (OT) petugas, pertambahan trip perjalanan lori serta lanjutan waktu operasi di Tapak Pelupusan Sampah Sungai Ikan.

​Menurutnya, walaupun MBKT telah menyediakan tong sampah sepanjang program yang berlangsung bermula Jumaat hingga Sabtu lalu, jumlah pengunjung mencecah lebih 100,000 orang menyebabkan kemudahan tersebut tidak dapat penampung penggunaan yang banyak dalam satu masa.

​"Kami memahami kemungkinan bilangan tong sampah yang disediakan tidak mencukupi kerana bilangan peserta yang datang melebihi 100,000 orang, tetapi sepatutnya sampah dikumpul di suatu tempat dan bukannya dibuang merata-rata.

​"Sekitar 130 tan sisa pepejal terutama plastik makanan dan minuman dikutip di tapak program. Jadi kita terpaksa menambah bilangan trip kutipan sampah dan petugas MBKT juga terpaksa bekerja lebih masa memastikan kebersihan bandar raya terjaga," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Lizan berkata, susulan cabaran operasi tersebut, MBKT kini sedang meneliti cadangan memperkukuh syarat kelulusan bagi penganjuran sebarang acara berskala besar pada masa akan datang.

​Jelas beliau, antara langkah yang dipertimbangkan termasuk mewajibkan penganjur mengemukakan pelan pengurusan sisa pepejal serta penambahan kempen kebersihan di lokasi tumpuan.

​"Selain itu, penilaian semula kadar deposit pembersihan atau mekanisme jaminan yang bersesuaian turut akan dilaksanakan bagi mengurangkan beban kos yang ditanggung pihak berkuasa tempatan (PBT).

​"Matlamat MBKT bukan untuk membebankan penganjur, sebaliknya memastikan setiap program mempunyai pelan pengurusan kebersihan yang jelas dan berkesan demi memelihara imej Kuala Terengganu sebagai bandar raya bersih serta mesra pelancong," katanya.

Artikel Berkaitan:

​Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan penambahbaikan untuk program akan datang seperti menambah tong sementara, meningkatkan kekerapan kutipan waktu siang dan malam, melantik sukarelawan sebagai Duta Kebersihan, serta memperketat pemantauan dan penguatkuasaan mengikut undang-undang kecil berkuat kuasa.

​Bagaimanapun, Lizan berkata, pihak MBKT sentiasa menyambut baik dan mengalu-alukan penganjuran aktiviti berskala besar di negeri ini kerana ia terbukti menyemarakkan sektor pelancongan serta ekonomi tempatan.

​"Kami merakamkan penghargaan kepada semua peserta RXZ Members yang memilih Kuala Terengganu. Kehadiran anda bukan sahaja merancakkan ekonomi, malah mempromosikan bandar raya ini di peringkat nasional.

"Namun, kita ingin mengingatkan bahawa tugas menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!