Teruja berkonvoi jangan sampai hilang nyawa

Himpunan RXZ Members mencetuskan kontroversi khususnya membabitkan keselamatan pengguna jalan raya. Foto fail Bernama
Himpunan RXZ Members mencetuskan kontroversi khususnya membabitkan keselamatan pengguna jalan raya. Foto fail Bernama
A
A
A

ISU membabitkan Himpunan RXZ Members menjadi topik perbualan hangat minggu ini selepas penganjuran terbaru menyebabkan berlakunya beberapa kemalangan maut membabitkan peserta konvoi.

Himpunan berkenaan yang sebelum ini mencetuskan kontroversi khususnya membabitkan keselamatan pengguna jalan raya sewajarnya menitikberatkan aspek keselamatan dalam pemanduan, apatah lagi membabitkan jumlah yang besar pada satu-satu masa.

Sememangnya wujud satu keterujaan apabila penunggang motosikal berkonvoi dalam jumlah yang ramai, namun kita tidak mahu keseronokan itu berakhir dengan kecelakaan sehingga hilang nyawa.

Pihak berwajib juga sudah berkali-kali menyuarakan pandangan dan saranan mengenai pemanduan berhemah dan advokasi keselamatan jalan raya sebagai agenda wajib setiap penganjuran.

Terbaru, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, usaha itu penting bagi mengelakkan tragedi kehilangan nyawa akibat memandu laju daripada terus berulang.

Menurutnya, ia menyaksikan peningkatan kes kemalangan jalan raya di jabatan kecemasan hospital seluruh negara, termasuk yang meragut nyawa dan itu perlu diberi perhatian.

Selain itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap peserta program himpunan motosikal termasuk himpunan RXZ selepas ini.

Ia termasuk mengadakan sesi libat urus dengan penganjur susulan kemalangan yang sering dikaitkan dengan penganjuran acara itu, sesuatu yang perlu segera dilaksanakan sebelum siri himpunan berikutnya diadakan.

Selain nasihat demi nasihat, teguran bersilih ganti, aspek kesedaran mengenai bahaya menanti perlu dititikberatkan kepada penganjur.

Artikel Berkaitan:

Sikap ketika berada di jalan raya perlu menjadi topik semua pihak ketika ramai yang menuding jari menyalahkan penganjurannya, tanpa mengambil kira statistik kemalangan yang berlaku setiap hari walaupun tanpa himpunan terbabit.

Mungkin kita perlu menjadikan himpunan yang mendapat kebenaran itu berakhir dengan baik tanpa kehilangan jiwa dan menjadi catatan indah untuk dikenang selama-lamanya bukannya tragedi yang melukakan jiwa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!