X

Kindly register in order to view this article
!

PKP: UKM sambung semula pengajian dalam talian bermula 27 April

Profesor Datuk Ir Dr Mohd Hamdi Abdul Shukor
A
A

BANGI - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menyambung semula aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian bermula 27 April ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Naib Canselornya, Profesor Datuk Ir Dr Mohd Hamdi Abdul Shukor berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan aspek pembelajaran dan pengajian kuliah para mahasiswa tidak terjejas dan terganggu akibat Covid-19 dan bagi merealisasikannya, semua pensyarah sedang giat mempersiapkan bahan pengajaran di samping pihak universiti turut menyediakan platform UKM Folio.

"Keputusan ini sekaligus mengurangkan kegusaran ibu bapa dan pelajar yang bimbang tahap ketahanan mental anak-anak mereka semakin menurun sepanjang pelaksanaan PKP. Selain mengambil inisiatif memulakan semula aktiviti pengajaran dan pembelajaran melalui dalam talian, UKM melalui Unit Kaunseling, Hal Ehwal Pelajar (HEP) turut menyediakan perkhidmatan sokongan psikologi kepada pelajar memerlukan,"katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Mohd Hamdi turut meminta semua ibu bapa dan pelajar bersabar serta menerima keputusan kerajaan yang mahukan semua pelajar IPT kekal di kampus masing-masing bagi mendepani perlanjutan fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini.

Menurutnya, keputusan itu penting bagi membantu negara melawan penularan Covid-19 dengan risiko serta kesannya adalah besar sekiranya pelajar dibenarkan pulang ketika ini.

"Di UKM, kita ada seramai kira-kira 1,700 pelajar yang berada di kampus pada masa ini.

"Bekalan makanan disediakan oleh pihak universiti adalah mencukupi dan kita juga menerima sumbangan makanan tambahan serta keperluan diri daripada pelbagai pihak dan badan bukan kerajaan (NGO), industri serta agensi kerajaan.

"Kita juga sedar bahawa ketahanan mental pelajar-pelajar ini ada yang semakin menurun. Justeru, penyediaan perkhidmatan sokongan psikologi turut diberikan untuk kebajikan mereka,"katanya.

Pada 13 April lalu, kerajaan memutuskan semua pelajar IPT awam dan swasta yang masih berada di kampus tidak dibenarkan pulang ke rumah atau kampung masing-masing.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagaimanapun menjelaskan, kebajikan serta makan dan minum mereka akan tetap dijaga serta ditanggung kerajaan sepenuhnya.

Keputusan itu dibuat kerajaan susulan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu mengumumkan tempoh PKP dilanjutkan bagi fasa ketiga untuk dua minggu lagi, bermula hari ini hingga 28 April depan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!