Suspek serang dua anggota polis maut ditembak

Mohd Alwi menunjukkan gambar lokasi persembunyian suspek yang berjaya ditembak mati dalam satu operasi tangkapan di Ijok, Selama, Ahad lalu.
Mohd Alwi menunjukkan gambar lokasi persembunyian suspek yang berjaya ditembak mati dalam satu operasi tangkapan di Ijok, Selama, Ahad lalu.
A
A
A

LARUT - Seorang penagih dadah yang terlibat dalam insiden menyerang dua anggota polis pada Jun lalu ditembak mati dalam satu operasi tangkapan di Ijok, Selama, Ahad lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, lelaki warga tempatan berusia 39 tahun itu ditembak di bahagian kaki kira-kira jam 8.20 pagi selepas bertindak agresif menyerang anggota polis dengan parang.

Menurutnya, tindakan itu diambil bagi mempertahankan diri susulan ancaman terhadap keselamatan dan nyawa pegawai serta anggota yang terlibat dalam operasi berkenaan.

"Suspek sebelum itu dikesan bersembunyi di sebuah pondok di dusun buah-buahan di Kampung Klian Gunung, Ijok hasil maklumat orang awam.

"Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama kemudiannya telah ke lokasi bagi membuat tangkapan.

"Ketika anggota polis cuba menghampiri, suspek mencapai parang dan terus meluru menyerang, menyebabkan polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah kaki bagi mempertahankan diri,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Selama pada Isnin.

Beliau berkata, suspek yang cedera rebah, namun masih melawan ketika ditahan sehingga berlaku pergelutan sebelum senjata berjaya dirampas.

Katanya, bantuan perubatan telah dipanggil ke lokasi, namun suspek disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.20 pagi.

“Bedah siasat dijalankan pada Isnin oleh pakar patologi di Hospital Taiping dan keputusan masih belum diperoleh,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Alwi berkata, semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau melibatkan tiga kes jenayah serta tujuh kes berkaitan dadah.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah hari pada 23 Jun lalu, dua anggota polis cedera selepas diserang suspek menggunakan pisau ketika operasi tangkapan di Kampung Sungai Jernih, Ijok.

Seorang sarjan berusia 44 tahun mengalami kecederaan serius termasuk luka di kepala sepanjang lapan sentimeter, perut kiri (13 sentimeter) dan tangan kiri (18 sentimeter).

Seorang lagi anggota berusia 27 tahun turut cedera di dahi sepanjang lapan sentimeter, bawah mata kiri hingga pipi (tujuh sentimeter), tangan kanan (empat sentimeter) serta siku kanan (lima sentimeter).

Susulan itu, polis melancarkan operasi mengesan suspek sehingga berjaya menjejaki lokasi persembunyiannya hasil maklumat orang awam.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!