WCE galak orang ramai ke Taiping sempena Raintown Film Festival

Raintown Film Festival berlangsung dari 4 hingga 6 September ini.
Raintown Film Festival berlangsung dari 4 hingga 6 September ini.
A
A
A

TAIPING - West Coast Expressway (WCE) memanfaatkan rangkaian lebuh rayanya sebagai penghubung ke destinasi pelancongan dengan menyokong penganjuran Raintown Film Festival 2026 di Taiping, sekali gus menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia meneroka keunikan bandar warisan itu.

Pengarah Urusan WCE, Lyndon Alfred Felix berkata, sokongan syarikat terhadap festival yang memasuki edisi ketiga itu mencerminkan komitmen berterusan dalam menyokong pembangunan pelancongan domestik serta memperkukuh ekonomi komuniti di sepanjang koridor lebuh raya berkenaan.

Menurutnya, festival itu bukan sahaja mengangkat industri kreatif tempatan, malah memperkenalkan Taiping kepada lebih ramai rakyat Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan bandar warisan yang unik.

"Dengan berbaki sebulan lagi, kami menggalakkan orang ramai merancang perjalanan lebih awal dan mengambil peluang menikmati festival ini sambil meneroka pelbagai tarikan pelancongan, makanan tempatan dan pengalaman yang menjadikan Taiping sebuah destinasi istimewa.

"Pertumbuhan Raintown Film Festival dari tahun ke tahun menunjukkan potensinya sebagai antara acara yang mampu menarik lebih ramai pengunjung ke Taiping," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau menambah, WCE yang merupakan antara penyokong festival itu berharap Raintown akan terus berkembang dan menarik lebih ramai pengunjung pada tahun ini.

"Kami percaya peningkatan kehadiran pelawat bukan sahaja memberi manfaat kepada peniaga tempatan, pengusaha pelancongan dan komuniti setempat, malah turut meningkatkan pergerakan trafik di sepanjang koridor WCE," ujarnya lagi.

Sehubungan itu, WCE menggalakkan rakyat Malaysia merancang perjalanan lebih awal ke bandar warisan berkenaan bagi menikmati festival yang berlangsung dari 4 hingga 6 September depan.

Sebagai salah satu rakan strategik festival, WCE berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan mengambil peluang berkunjung ke Taiping, sekali gus memanfaatkan rangkaian lebuh raya itu sebagai laluan alternatif selesa ke bandar warisan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Festival berlangsung di Paragon Cinemas, Taiping Mall itu menghimpunkan karya filem tempatan, penggiat filem, bakat kreatif baharu, pengamal industri serta peminat menerusi tayangan filem, sesi perkongsian ilmu dan pelbagai aktiviti kebudayaan sepanjang tiga hari penganjurannya.

Festival tahun ini menerima 152 penyertaan bagi Pertandingan Filem Pendek Raintown, meningkat 48 peratus berbanding 103 penyertaan pada tahun lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 20 karya terbaik dipilih sebagai finalis untuk bersaing dalam lapan kategori anugerah.

Festival kali ini turut menampilkan empat filem Malaysia iaitu Circus of Life, Tomorrow, Tomorrow, Tomorrow...and Tomorrow, Goodbye Boys dan Men Who Save the World, dengan setiap tayangan disusuli sesi soal jawab bersama pembikin filem.

Selain itu, pengunjung berpeluang menyertai lawatan berpandu ke Bukit Larut serta menyaksikan tayangan dokumentari The Island School: The Story of SJK(C) Aik Hua yang memaparkan usaha sebuah sekolah luar bandar antara terkecil di Malaysia demi mengekalkan kelangsungan pendidikan.

Buat julung kali, Raintown Film Festival turut bekerjasama dengan School of Media and Creative Communication, IACT College bagi membuka peluang kepada penggiat filem muda mempersembahkan karya serta berinteraksi dengan pemain industri.

Sepanjang berada di Taiping, pengunjung juga digalakkan mengunjungi pelbagai tarikan pelancongan termasuk Taman Tasik Taiping, Bukit Larut, kawasan warisan, restoran dan premis makanan tempatan.

Sokongan WCE terhadap festival itu merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) WE CARE yang turut merangkumi Program Anak Angkat Seladang di Zoo Taiping & Night Safari, pembinaan Taman Poket WCE serta penghasilan mural bertemakan WCE.

Raintown Film Festival 2026 dianjurkan oleh WuBen Film Magazine dan Studio 1914 dengan sokongan WCE, Kerajaan Negeri Perak, Port Ipoh serta beberapa rakan industri dan komuniti.

Tiket festival boleh ditebus secara percuma menerusi platform CloudJoi di bawah senarai “3rd Raintown Film Festival” atau menerusi pautan https://www.cloudjoi.com/collections/raintown-film-festival-2026.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!