Noorzunita akur keputusan rakyat, tekad terus berbakti di Pilah

KUALA PILAH – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah, Noorzunita Begum Mohd Ibrahim menerima dengan hati terbuka kekalahannya kepada calon Barisan Nasional (BN), S Leza Md Yassin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026.
Noorzunita berkata, beliau menghormati keputusan yang dibuat rakyat dan merakamkan penghargaan kepada 6,100 pengundi yang telah memberikan kepercayaan serta sokongan kepadanya sepanjang pilihan raya berlangsung.
"Walaupun saya tidak berjaya mempertahankan kerusi DUN Pilah bagi PH kali ini, saya menerima keputusan rakyat dengan hati yang terbuka, penuh hormat dan rendah diri," katanya dalam satu hantaran di media sosial rasminya pada Isnin.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera parti, para sukarelawan, penyokong, sahabat dan ahli keluarga yang telah bersama-sama mengharungi tempoh berkempen dengan mengorbankan tenaga, masa serta doa.
Menurutnya, setiap usaha dan pengorbanan yang diberikan sepanjang kempen amat dihargai dan menjadi kekuatan buat beliau untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.
Noorzunita turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga Pilah tanpa mengira kecenderungan politik serta mendoakan agar kawasan DUN itu terus maju, aman dan sejahtera di bawah kepimpinan yang dipilih rakyat.
"Kepada seluruh warga Pilah, sama ada yang mengundi saya atau sebaliknya, kasih sayang dan penghargaan saya tetap sama," katanya.
Beliau berkata, kekalahan itu bukan penamat kepada usaha untuk berbakti kepada masyarakat, sebaliknya akan terus menyumbang kepada rakyat selagi diberikan kesempatan.
"Perjuangan untuk berbakti kepada masyarakat tidak akan terhenti di sini. Insya-ALLAH, saya akan terus menyumbang dan bersama rakyat selagi diberikan kesempatan," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mendoakan agar segala pengorbanan semua pihak yang membantunya sepanjang kempen mendapat ganjaran daripada Allah SWT.
Pada PRN Negeri Sembilan 2026, DUN Pilah menyaksikan pertembungan dua calon wanita apabila Noorzunita mewakili PH dicabar calon BN, S. Leza Md. Yassin.
Kerusi berkenaan dimenangi S. Leza selepas memperoleh majoriti 730 undi sekali gus menewaskan penyandang daripada PH itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
