Wakil rakyat perlu pikul amanah tanpa mengira fahaman politik - Nurul Izzah

SHAH ALAM – Semua wakil rakyat yang dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan perlu melaksanakan amanah rakyat dengan adil serta mengutamakan kepentingan semua tanpa mengira latar belakang dan kecenderungan politik.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, selepas keputusan pilihan raya dimuktamadkan, tumpuan bukan lagi kepada persaingan politik, sebaliknya tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat.
"Politik mempunyai ruang dan waktunya. Sewaktu berkempen, persaingan mungkin sengit, hati tentunya terguris.
"Namun setelah keputusan dimuktamadkan, yang dituntut bukan lagi persaingan, tetapi amanah,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Dalam pada itu Nurul Izzah turut mengingatkan semua pihak untuk menghormati keputusan pilihan raya dan menerima mandat rakyat.
Beliau menegaskan, setiap wakil rakyat kini memikul tanggungjawab mewakili seluruh penduduk di kawasan masing-masing tanpa mengira fahaman politik
"Amanah yang dipikul ialah untuk berlaku adil, mendengar suara rakyat dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua.
"Keperluan rakyat tidak mengenal warna parti. Semoga ALLAH SWT memimpin setiap langkah kita dalam memikul amanah ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

