Jangan tuduh rakyat bersifat perkauman, PH perlu muhasabah kekalahan di N9 - Pejuang

PUTRAJAYA – Pakatan Harapan (PH) disaran bermuhasabah terhadap kekalahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan tidak menuduh pengundi bersikap perkauman semata-mata kerana memilih gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, adalah tidak wajar untuk mengaitkan kemenangan BN-PN dengan politik perkauman kerana rakyat membuat pilihan berdasarkan isu yang dekat dengan kehidupan mereka seperti kos sara hidup, harga barang dan kegagalan kerajaan menunaikan janji.
"Jangan tuduh rakyat bersifat perkauman. Gagal muhasabah diri mahu salahkan rakyat pula. Itulah Pakatan Harapan.
"Lebih mudah menyalahkan sentimen kaum daripada mengakui bahawa rakyat sudah hilang keyakinan terhadap sebuah pentadbiran yang gagal memenuhi harapan mereka," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, dakwaan bahawa setiap kali orang Melayu memilih untuk bersatu ia dianggap sebagai perkauman adalah tidak tepat, sedangkan penyatuan kaum lain sering diterima sebagai sebahagian daripada proses demokrasi.
Katanya, kemenangan besar calon PN di Paroi iaitu Kamarol Ridzuan Mohd Zain dengan majoriti 16,959 undi dan perubahan sokongan di beberapa kerusi membuktikan rakyat membuat keputusan berdasarkan penilaian terhadap prestasi kerajaan, bukannya faktor kaum.
"Adakah kekalahan Anthony Loke di DUN Chennah juga boleh dianggap sebagai perkauman apabila sebahagian besar pengundi Cina sendiri tidak lagi memberikan sokongan kepada DAP?
"Rakyat mengundi kerana harga barang, kos sara hidup dan janji yang tidak ditunaikan.
"Pilihan raya bukan 'guessing game'. Ia manifestasi suara rakyat semata-mata mahu hantar mesej jelas," ujarnya.
Tambah beliau, penyatuan orang Melayu bukan ancaman kepada mana-mana kaum kerana hak semua rakyat telah dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, Rafique berkata, 'Gelombang Biru' yang tercetus pada PRN Negeri Sembilan adalah isyarat jelas bahawa rakyat mahukan perubahan berdasarkan prestasi kerajaan dan bukannya didorong oleh sentimen kebencian atau perkauman.
Pada PRN Negeri Sembilan Sabtu lalu, BN muncul sebagai parti terbesar apabila memenangi 18 daripada 36 kerusi DUN diikuti PH (13) kerusi dan PN (5).
Keputusan itu menyaksikan gabungan BN dan PN menguasai 23 daripada 36 kerusi DUN, melepasi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baharu, sekali gus menamatkan pentadbiran PH di Negeri Sembilan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

