PRN Negeri Sembilan: Kekalahan di Chennah, Repah pengalaman pahit buat DAP

SHAH ALAM - Kekalahan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah dan Repah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disifatkan sebagai satu pengalaman yang amat sukar dan pahit buat DAP.
Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Malaysia, Nga Kor Ming berkata, sebaliknya gabungan itu akan melakukan muhasabah dan penilaian secara mendalam bagi mencari jalan mencapai kemenangan di Negeri Sembilan pada masa depan.
"Kekalahan di DUN Chennah dan Repah merupakan satu pengalaman yang amat sukar dan pahit buat kami.
"Namun, Pakatan Harapan tidak akan berputus asa, sebaliknya, kami akan bermuhasabah dan melakukan penilaian secara mendalam supaya mencari jalan mencapai kemenangan di Negeri Sembilan pada masa depan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini media melaporkan, DUN Chennah menyaksikan kejutan apabila Setiausaha Agong DAP, Anthony Loke tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) dari MCA, Siow Kong Choon, sementara di Repah, Koh Kim Swee (BN – MCA) berjaya menewaskan penyandang kerusi berkenaan, S Veerapan.
Kor Ming berkata, pihaknya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pengundi Negeri Sembilan yang telah memberikan sokongan kepada PH pada PRN berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para pengundi serta petugas pilihan raya yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia.
Katanya, walaupun keputusan PRN Negeri Sembilan kali ini tidak seperti yang diharapkan, DAP menghormati proses demokrasi dan menerima keputusan yang telah dibuat oleh rakyat dengan penuh rendah hati.
Dalam pada itu, Kor Ming berkata, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke telah menunjukkan kepimpinan yang penuh bertanggungjawab sepanjang menghadapi situasi mencabar itu.
"Beliau telah menjalankan amanah dengan dedikasi penuh serta berjuang bersama seluruh jentera DAP Negeri Sembilan sehingga ke saat-saat yang terakhir.
"Dalam saat yang penuh mencabar ini, kami berdiri teguh bersama Saudara Anthony Loke, kami akan terus berpegang teguh pada perjuangan, mengharungi segala cabaran bersama serta melangkah ke hadapan dengan penuh keazaman sebagai satu pasukan," katanya.
Tambah beliau, DAP bersama PH akan terus berkhidmat kepada rakyat dengan penuh komitmen serta berusaha meraih semula keyakinan dan sokongan rakyat melalui prestasi kerja dan rekod perkhidmatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

