PRN Negeri Sembilan: Gelombang politik sempit, perkauman tidak akan bertahan lama - Mat Sabu

SHAH ALAM - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu yakin politik identiti dan sentimen sempit yang dimainkan pihak lawan sehingga menyaksikan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 tidak akan bertahan lama.
Menurutnya, naratif yang kembali diulang itu bertujuan untuk menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang Melayu, khususnya dengan melabel parti tertentu sebagai ancaman kepada Islam.
Beliau berkata, sejarah juga menunjukkan bahawa gelombang sedemikian pernah berlaku pada tahun 1969 dan peristiwa Operasi Lalang pada tahun 1987, namun kini menyaksikan ia kembali disemai oleh parti politik yang besar.
"Kita tetap istiqamah membawa gagasan Islam Rahmatan Lil Alamin iaitu Islam yang membawa rahmat kepada seluruh umat manusia, bukan Islam yang menimbulkan ketakutan atau perpecahan.
"Namun kita juga tidak boleh menafikan bahawa politik identiti dan sentimen sempit sedang kembali dimainkan. Fenomena ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah turut berlaku di beberapa negara lain termasuk di Eropah dengan kemunculan fahaman kanan melampau.
"Saya yakin, gelombang ini tidak akan bertahan lama. Rakyat Malaysia semakin matang. Pada akhirnya, rakyat akan kembali menilai berdasarkan prestasi, keupayaan mentadbir dan integriti," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Sabtu secara rasmi mengumumkan Barisan Nasional (BN) memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya negeri berkenaan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata Pakatan Harapan pula menang 11 kerusi dan PN tujuh kerusi.
Keputusan itu juga menyaksikan pentadbiran PH di negeri beradat itu tumbang selepas dua penggal memegang tampuk kepimpinan di Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, ahli dan penyokong Amanah digesa supaya terus kental dan tidak sesekali terjebak dengan politik kebencian yang dimainkan pihak lawan ketika ini.
"Kita kekal yakin dengan perjuangan kita menegakkan prinsip Islam Rahmatan Lil Alamin. Alhamdulillah, semakin ramai rakyat, termasuk dalam kalangan bukan Islam, mula memahami bahawa Islam yang kita bawa adalah Islam yang adil, sederhana dan membawa rahmat kepada semua," katanya.
Beliau dalam masa sama turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pimpinan dan jentera parti berkenaan atas pengorbanan dan komitmen sepanjang tempoh kempen berlangsung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

