PRN Negeri Sembilan: PH jangan salahkan politik identiti - Nik Nazmi

Nik Nazmi
Nik Nazmi
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) tidak boleh menjadikan politik perkauman dan identiti yang didakwa dimainkan oleh Barisan Nasional (BN) serta Perikatan Nasional (PN) sebagai antara penyebab kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada Sabtu.

Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, alasan yang diberikan oleh kepimpinan utama PH amat dangkal.

Menurut beliau, PH perlu berbalik kepada nilai-nilai asal parti dalam usaha memenangi kembali hati penyokong mereka.

"Saya memang tidak setuju dengan politik identiti mahupun politik perkauman. Sebab itulah saya berada di dalam Bersama yang bersifat pelbagai kaum.

"Ada beberapa perkara yang menjadi masalah bagi pihak PH. Ini semuanya berpunca pendekatan dari awal bahawa kita bina Kerajaan Perpaduan bukan hanya untuk satu penggal, kalau boleh nak bawa BN di dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bersama-sama," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Nik Nazmi dalam sama menegaskan tidak timbul isu penubuhan Bersama sebagai antara punca PH kehilangan sokongan kerana parti itu bukannya bertanding di mana-mana kerusi PRN Negeri Sembilan.

Sementara itu, beliau berpendapat bahawa strategi mendedahkan butiran laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) sebagai senjata politik dilihat kurang ampuh.

Ia kerana menurutnya, RCI TH ialah laporan yang bukan mudah untuk difahami orang awam, malah pembentukan naratif juga sukar diolah begitu sahaja.

"Soal RCI TH, perkara yang telah pun siap begitu lama tiba-tiba disebarkan, dibuka untuk tatapan umum dalam tempoh kempen PRN Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat tidak bodoh! Bila dilihat perkara ini menjadi satu senjata politik yang digunakan pada saat-saat akhir, tentulah ia mengurangkan keampuhan," ujar Nik Nazmi lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Sabtu mengumumkan BN memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya negeri berkenaan.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, PH pula menang 11 kerusi dan PN tujuh kerusi.

Keputusan itu juga menyaksikan pentadbiran PH di negeri beradat itu tumbang selepas dua penggal memegang tampuk kepimpinan di Negeri Sembilan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!