Arwah Nabil beri sinar baharu buat pesakit lain

SABAK BERNAM - "Kalau organ itu membantu seseorang meneruskan kehidupan dan beribadah, saham pahala itu akan terus mengalir kepada arwah."
Itu antara pertimbangan utama Mohd Zairee Mindar, 49, dan isterinya, Zaidah Mohd Sapawi, 49, ketika membuat keputusan membenarkan organ anak kesayangan, Allahyarham Nabil Izz Qaisar, 19, didermakan selepas disahkan meninggal dunia akibat kematian otak.
Mohd Zairee berkata, keputusan itu bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya selepas melalui sesi runding cara bersama pakar Hospital Selayang yang menjelaskan kepentingan pendermaan organ kepada pesakit yang sudah lama menunggu.
"Pada mulanya memang tak terfikir langsung mengenai derma organ kerana ketika itu fikiran kami hanya tertumpu kepada keadaan Nabil.

"Tetapi selepas doktor menerangkan keperluannya, kami melihat daripada sudut manfaat dan amal jariah, selain peluang membantu mereka yang memerlukan," katanya kepada Sinar Ahad.
Allahyarham Nabil merupakan penuntut Diploma Kewangan Islam, Jabatan Perdagangan Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), meninggal dunia selepas mengalami kecederaan serius di kepala ketika beriadah di Taman Eko Rimba Kanching, Rawang pada 25 Julai lalu.
Terdahulu, Hospital Selayang mengadakan Honor Walk sebagai tanda penghormatan terakhir kepada Allahyarham Nabil yang terus memberi sinar harapan kepada insan lain menerusi pendermaan organ.
Dalam suasana penuh hening pada jam 3 pagi, ahli keluarga, sahabat handai bersama keluarga masing-masing, guru dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, pensyarah PSIS serta warga hospital mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham sebagai simbol penghargaan terhadap pengorbanan amat bermakna itu.
Organ didermakan Allahyarham Nabil ialah paru-paru, jantung, hati, dua buah pinggang serta dua kornea.
Jenazah Allahyarham kemudiannya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Jannah Taman Pertama di sini pada 28 Julai lalu.
Menurut Mohd Zairee, penerangan doktor mengenai ramai pesakit yang terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkan organ membuka hati keluarga untuk membuat keputusan itu.
"Perkara itu membuatkan kami berfikir, walaupun arwah sudah tiada, tetapi Nabil masih mampu memberi sinar baharu kepada orang lain," ujarnya.
Katanya, sebelum membuat keputusan itu, dia juga mendapatkan pandangan Timbalan Mufti Selangor, Profesor Madya Datuk Dr Miszairi Sitiris bagi memastikan tindakan itu selari dengan tuntutan syarak.
Mohd Zairee turut menghargai layanan dan penghormatan diberikan pasukan perubatan Hospital Selayang sepanjang proses pengambilan organ.
"Doktor menerangkan setiap prosedur kepada kami antaranya memberi bius penuh kepada Nabil ketika pembedahan dan menguruskan jenazah arwah dengan penuh hormat," tambahnya.
Didikan sempurna
Mengimbau peribadi anaknya, Mohd Zairee berkata, Allahyarham yang juga anak kedua daripada lima beradik sentiasa dididik supaya menjadi pelindung keluarga serta bakal memikul tanggungjawab sebagai wali kepada adik-beradik perempuannya sekiranya dia tiada lagi di dunia ini.
"Kami didik arwah supaya matang, bertanggungjawab dan mampu membimbing keluarga kerana dia satu-satunya anak tunggal lelaki.
"Arwah bukan jenis memberontak, kalau kami tak benarkan sesuatu, dia akan terima dan faham, selain banyak membantu keluarga serta menjaga adik-adiknya," katanya.
Menurutnya, sifat penyayang, suka mengalah dan ringan tulang Allahyarham menyebabkan kehilangannya amat dirasai seluruh keluarga.
"Sikap arwah tidak suka membantah, malah sentiasa mengalah dan membantu hingga membuatkan kami rindu padanya," katanya.
Mohd Zairee memberitahu, sejak kecil lagi semua anaknya dididik supaya menjaga solat dan sentiasa berjemaah apabila berada di rumah.
"Kalau hujung minggu kami keluar bersama keluarga, apabila masuk waktu solat kami akan berhenti di masjid atau surau," jelasnya.
Mohd Zairee berkata, kali terakhir dia bertemu Nabil ialah semasa solat Jumaat, sehari sebelum kejadian apabila terserempak dengannya di perkarangan Masjid Parit Baru.
"Saya sempat bersalam dengannya dan mengajak dia ikut balik ke rumah datuknya di Perak keesokan hari, tetapi dia menjawab, nanti dia beritahu semula," kongsinya.

Sementara itu, Zaidah memberitahu, semua anak perempuannya sudah merancang untuk menyambut ulang tahun kelahiran Allahyarham sehari sebelum tragedi.
"Kami rancang Ahad nanti dapatlah makan bersama sebagai satu keluarga, tetapi kami pula dikejutkan dengan panggilan telefon memaklumkan Nabil sedang dirawat di hospital.
"Siapa sangka, perancangan meraikan ulang tahun Nabil bertukar menjadi detik paling memilukan apabila kami akhirnya terpaksa mengiringi pemergiannya buat selama-lamanya," luahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

