Hilang komponen logam antara punca utama pili bomba rosak - JBPM

KUALA LUMPUR – Kehilangan komponen logam utama dikenal pasti sebagai antara punca utama kerosakan pili bomba di seluruh negara, sekali gus menjejaskan fungsi dan kecekapan sistem bekalan air ketika operasi kecemasan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, tahap integriti aset pili bomba kini berada pada tahap membimbangkan apabila sebanyak 49,794 unit dikesan mengalami pelbagai bentuk kerosakan dan kegagalan fungsi sepanjang tahun lalu.
"Jumlah itu mewakili 13.7 peratus daripada keseluruhan 363,340 unit pili bomba awam yang diperiksa menerusi operasi pemeriksaan berkala di seluruh negara.
“Analisis terperinci mendapati punca utama kerosakan adalah disebabkan kehilangan komponen logam utama," katanya.
Menurutnya, statistik merekodkan 10,424 kes membabitkan kehilangan ‘outlet pillar cap’, 8,109 kes ketiadaan penutup ‘chamber’ serta 3,359 kes melibatkan kerosakan fizikal serius seperti tiang pili patah atau rosak teruk.
"Ketiadaan komponen berkenaan bukan sahaja mendedahkan sistem dalaman kepada risiko kemasukan bendasing dan kerosakan mekanikal, malah menjejaskan kelancaran penyambungan hos ketika tempoh kritikal atau ‘golden time’ dalam operasi pemadaman.
“Tindakan merosakkan atau mengganggu fungsi pili bomba bukan sekadar kesalahan kecil terhadap harta awam, sebaliknya merupakan faktor risiko yang boleh mengubah dinamik pengurusan insiden,” katanya.
Tambah kenyataan itu, situasi menjadi lebih kritikal apabila anggota bomba yang tiba di lokasi mendapati pili bomba dihalang, ditimbus atau komponen pentingnya hilang sehingga memaksa pelan tindakan asal dirombak serta-merta.
“Kelewatan ini menyebabkan pasukan bomba terpaksa menggunakan alternatif seperti bekalan tangki jentera yang terhad atau teknik ‘relay pumping’ yang memerlukan tenaga kerja serta masa tambahan.
“Sebarang kelewatan dalam mengaktifkan sumber air berisiko menyebabkan kebakaran kecil merebak menjadi insiden berskala besar sekali gus mengancam keselamatan nyawa dan harta benda,” jelasnya.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan bahawa perbuatan merosakkan atau menghalang akses kepada pili bomba merupakan kesalahan di bawah Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).
Ringkasan AI
- Kehilangan komponen logam utama adalah punca utama kerosakan pili bomba di Malaysia.
- Sebanyak 49,794 pili bomba mengalami kerosakan sepanjang tahun lalu.
- 13.7% daripada 363,340 pili bomba awam dikesan mengalami kerosakan.
- Ketiadaan komponen penting menjejaskan fungsi dan kelancaran sistem bekalan air.
- Kerosakan pili bomba menjadi kesalahan di bawah Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
