Jojo tagih pertarungan ulangan

SENSASI Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar mencabar Ramadan Ondash untuk pertarungan ulangan selepas pertemuan mereka di ONE Championship: The Inner Circle 24 mengundang perhatian terhadap aspek penguatkuasaan peraturan dalam gelanggang.
Johan atau Jojo berkata, insiden pelindung gigi Ramadan yang terkeluar beberapa kali sepanjang pertarungan wajar diberi perhatian pihak penganjur bagi memastikan setiap aksi berlangsung secara lebih adil dan profesional.
Bagaimanapun, petarung berusia 19 tahun itu menegaskan beliau tidak menyalahkan Ramadan atas kekalahan menerusi keputusan split decision, sebaliknya menghormati keputusan pertarungan dan menganggap pengalaman itu sebagai ruang untuk memperbaiki kelemahan.
ARTIKEL BERKAITAN: Mouthguard Ramadan terlepas lima kali kebetulan atau disengajakan?
Bob T20 menang, kampung tergadai
"Saya tertanya-tanya mengapa ONE Championship tidak menyediakan pelindung gigi yang lebih baik untuk Ramadan.
"Jika seseorang meludah keluar pelindung gigi lebih daripada tiga kali, mungkin perkara itu perlu dipertimbangkan kerana ia boleh mengganggu rentak pertarungan.
"Bagi saya, pertarungan ini bukan soal siapa yang lebih banyak menyerang tetapi siapa yang lebih berkualiti.
"Dia memang banyak melepaskan serangan, namun kebanyakannya berjaya saya tahan," katanya.
Dalam aksi tiga pusingan di Stadium Lumpinee, Bangkok itu, Jojo terpaksa akur apabila Ramadan diputuskan sebagai pemenang selepas kedua-dua petarung mempamerkan aksi agresif dalam usaha memburu kemenangan.
Selepas pertarungan itu, Jojo bertemu Ramadan di belakang pentas untuk menagih pertarungan ulangan tetapi petarung Lubnan itu memaklumkan bahawa beliau memerlukan masa rehat selepas beraksi dua kali dalam tempoh tiga bulan.
Pun begitu, Ramadan yang sebaya Jojo tidak menolak kemungkinan menerima cabaran tersebut pada masa akan datang.
Kekalahan itu menyaksikan Jojo tewas dalam dua pertarungan berturut-turut selepas sebelum ini turut kecundang kepada wakil Jepun, Shimon Yoshinari menerusi unanimous decision pada ONE Samurai di Tokyo pada April lalu.
Setakat ini, Jojo sudah mengumpul empat kekalahan daripada 12 pertarungan di pentas ONE Championship.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
